‘Papa nak anak tahu bekas banduan pun boleh berjaya’

GEORGE TOWN: Siapa sangka, pengalaman hitam berada di sebalik tirai besi telah mengubah nasib seorang bekas banduan dari Penjara Seberang Perai di Jawi, dekat sini untuk membuktikan yang dia benar berubah sehingga mampu menggenggam segulung kejayaan.

Mohd. Khairul Ab. Aziz, 43, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, dia sedaya upaya mahu memulihkan semula maruahnya yang tercalar selepas terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

Ceritanya, pengalaman meringkuk di dalam penjara sejak tahun 2016 sehingga 2021 telah mengajarnya erti penyesalan sekali gus nekad mengubah nasib diri demi menggapai sebuah kejayaan di celah kehidupan yang serba mencabar.

“Semuanya bermula pada tahun 2020, semasa saya berada di Penjara Seberang Perai.

Keinginan menyambung pengajian hadir selepas saya mendengar kisah yang dilalui Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Hafizi Harun ketika beliau dijemput memberi ceramah di penjara.

“Melalui perkongsiannya itu, saya menanam niat untuk mengubah nasib diri dengan cuba mengikut jejak langkah beliau sebagai ‘role model’ untuk bangkit semula. Saya mula daftar pengajian dengan USM pada tahun 2020.

“Memang terlalu payah hendak henti herdikan dan stigma masyarakat terhadap bekas banduan tapi niat hanya satu iaitu mahu memulihkan semula maruah diri demi keluarga serta dua anak yang sudah terpisah kasih sejak setahun lalu.

“Papa (panggilan anaknya) juga nak anak-anak tahu yang bekas banduan pun boleh berjaya dan boleh berubah,” katanya sebak. Mohd. Khairul yang merupakan duda anak dua itu ditemui pemberita selepas Upacara Konvokesyen Ke-63 USM yang turut dihadiri oleh Naib Canselor universiti itu, Prof. Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Pengarah Penjara Seberang Perai, Rozita Muhamad Sharif di sini, lewat petang semalam.

Dalam sesi pertemuan itu, dua penyelia pengajiannya iaitu Prof. Dr. B. Vicknasingam dan Prof. Madya Dr. Darshan Singh turut hadir bersama bagi menyaksikan momen bersejarah itu apabila dia merupakan graduan pertama USM semasa sedang menjalani hukuman penjara.

Berkongsi pengalamannya semasa di penjara, anak kelahiran dari Pulau Pinang itu berkata, dia hanya dibenarkan menggunakan internet selama sejam setengah untuk mencari bahan rujukan yang akan dicetak dan dibawa pulang ke sel, setiap hari.

“Bayangkan, walaupun hanya lima bulan sempat merasai pengalaman mengulangkaji di sel sebelum dibebaskan pada Disember 2021, tapi ia cukup berharga walau terpaksa berjuang.

“Setiap malam, saya hanya bertemankan cahaya lampu di luar koridor sel untuk mengulangkaji pelajaran. Saya akan duduk di tepi pagar sel dan baca buku kadang-kadang sampai pukul 12 malam.

Tiada apa yang sukar jika kita tanam niat untuk berjaya hari ini. “Tapi perkara itu (perjuangan semasa di penjara) saya rasa boleh diceritakan kembali kepada komuniti luar mengenai sebuah perjuangan dan kejayaan bekas banduan yang nekad mahu berubah,” katanya yang sedang mengusahakan perniagaan snek makanan ringan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Khairul yang sebelum itu telah memiliki ijazah dalam bidang Kimia Industri di sebuah universiti swasta pada 2006 turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi individu pertama di negara ini yang menjalankan kajian mengenai penggunaan dadah kokain.

Hasil kajiannya itu turut dimuatkan dalam Laporan Global Kokain oleh United Nations Office Drugs and Crime (UNODC) Vienna pada tahun 2023. -KOSMO! ONLINE

More From Author

74 warga asing bertempiaran diserbu imigresen

Lapan sindiket penipuan ‘call centre’ tumpas, 57 individu ditahan