Filem Banduan bolos tiga pencalonan antarabangsa pada Anugerah IIFA

KUALA LUMPUR: Filem aksi, Banduan melakar sejarah tersendiri apabila terus mendapat perhatian dan pengiktirafan antarabangsa.

Filem adaptasi Melayu daripada filem Tamil terkenal Kaithi (2019) arahan Kroll Azry meraih tiga pencalonan utama pada Anugerah Akademi Filem India Antarabangsa (IIFA).

Pencalonan berkenaan adalah menerusi kategori Filem Antarabangsa Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik iaitu Datuk Aaron Aziz dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Datuk Rosyam Nor).

Tidak cukup dengan itu, filem terbitan Number Twenty One Media dan Dream Warrior Pictures mencatat kejayaan meraih kutipan box office sebanyak RM6 juta.

Penerbit Eksekutif Filem Banduan, Kalyana Devan berkata, pencapaian berkenaan membuktikan kejayaan besar di pasaran tempatan serta pengiktirafan di peringkat antarabangsa sekali gus membuktikan kualiti artistik, lakonan cemerlang dan keunikan adaptasi cerita asal yang dipersembahkan melalui lensa Malaysia.

“Kami amat berbangga dengan prestasi Banduan, baik di layar perak atau di box office. Kejayaan ini membuktikan dedikasi barisan pelakon dan kru yang terbabit.

“Secara tidak langsung ia memperlihatkan bahawa kisah tempatan yang dihasilkan dengan penuh semangat mampu mencetus fenomena tersendiri di peringkat global,” ujarnya.

Banduan mengisahkan Dali bekas banduan yang baru dibebaskan, tetapi terperangkap dalam misi berbahaya untuk membantu seorang inspektor polis yang sedang menjalankan operasi melawan sindiket dadah.

Dali terpaksa bekerja sama dengan polis untuk menyelamatkan sekumpulan anggota polis yang diracun, sebagai satu-satunya cara untuk menebus kesalahannya dan akhirnya dapat bertemu dengan anak perempuannya buat pertama kali.

Selain Aaron dan Rosyam filem Banduan turut dibintangi barisan pelakon terkenal tanah air, antaranya, Datuk Afdlin Shauki, Fadhli Masoot, Amir Nafis, Abi Madyan dan ramai lagi.

Filem Banduan ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 6 November lalu. – BH

More From Author

Kuartet 4x100m pecah rekod kebangsaan di Tokyo

Jumpa cebisan TV, pisau dalam perut buaya