Zahirah sanggup tolak tawaran demi keluarga

KUALA LUMPUR: Kebimbangan meninggalkan anak kecil kepada pembantu rumah mendorong pelakon, Zahirah MacWilson dan suami, Aiman Hakim Ridza, bergilir-gilir bekerja bagi memastikan dua cahaya mata mereka sentiasa berada di bawah jagaan ibu bapa sendiri.

Zahirah mengakui ketakutan itu bukan dibuat-buat, sebaliknya, datang daripada naluri seorang ibu yang enggan melepaskan tanggungjawab membesarkan anak kepada orang lain.

Katanya, sejak kelahiran anak kedua, Inara Raisa yang kini berusia 18 bulan, rutin rumah tangga mereka berubah sepenuhnya.

“Setakat ini, kami cuba tidak tinggalkan anak-anak lama dengan pembantu. Jadi, kami pilih untuk bergilir-gilir bekerja.

“Kalau Aiman ada penggambaran, saya akan jaga anak-anak di rumah dan begitulah sebaliknya,” katanya ditemui di set penggambaran drama bersiri Good Boys Go To Heaven di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagi Zahirah, pengorbanan itu sedikit pun tidak membebankan, malah, dia rela menolak beberapa tawaran berlakon demi memastikan jadual keluarga mereka lancar.

“Saya tak terkilan pun tolak tawaran. Ini pengorbanan saya sebagai ibu.

“Rezeki ada di mana-mana. Mungkin bukan sekarang, tetapi akan datang Allah gantikan yang lebih baik,” kata aktres berusia 30 tahun itu.

Walaupun lebih banyak berada di rumah, Zahirah tetap aktif menjalankan kempen media sosial dan projek komersial yang sesuai dengan jadual penjagaannya.

“Saya bukan berhenti bekerja sepenuhnya. Saya masih bekerjasama dengan beberapa jenama, cuma kerja di luar rumah saya kurangkan,” katanya

Zahirah yang hampir dua tahun tidak membintangi drama bersiri berkata, dia tidak teragak-agak menerima projek terbaharu berkenaan selepas mendengar penjelasan pengarahnya, Ariff Zulkarnain.

“Belum pun baca skrip, sekadar dengar penjelasan Ariff, hati saya sudah terusik. Sebagai ibu, saya terus boleh rasa ‘jiwa’ watak Dahlia,” ujarnya.

Watak ibu yang kehilangan anak itu memberi impak mendalam kepada Zahirah sehingga dia beberapa kali gagal menahan emosi ketika sesi bacaan skrip.

“Saya banyak kali menangis ketika menghayati watak Dahlia. Ini antara naskhah paling berat saya pernah bawa,” katanya.

Mengulas perjalanan kerjayanya, Zahirah berkata, selepas sedekad dalam industri kreatif, dia lebih berhati-hati memilih watak.

Zahirah mengakui semakin selektif kerana tidak mahu membawa karakter negatif seperti pelacur yang boleh menjejaskan imej dan memberi persepsi buruk kepada masyarakat.

“Dahulu saya ambil pelbagai watak. Sejak umur 20 tahun, saya sudah rasa pelbagai genre drama cinta dan komersial yang memang saya suka. – BH

More From Author

20 tahun menyepi, Juliana Banos akhirnya sah sertai GenKRU The Finale

Lelaki pukul polis berang ditegur tak pakai ‘helmet’