KUALA LUMPUR: Penyanyi juga pempengaruh, Syada Amzah, 27, membongkar rahsia hidupnya yang disifatkan tidak seperti wanita lain apabila tidak mempunyai bilik sendiri selama 24 tahun.
Adik bongsu kepada penyanyi Shila Amzah itu berkata kehidupannya dirasakan tiada privasi untuk diri sendiri kerana harus berkongsi bilik dengan orang lain.
Terdahulu, perkara itu diluahkan Syada atau nama sebenarnya Nursyuhada Amir Amzah pada hantaran dimuatnaik di Threads miliknya.
“Saya sangat penat, nak tidur balik dah la susah. Bangun rasa kecewa dengan kehidupan. Stres, saya rasa saya memerlukan bilik saya sendiri.
“Mahu ruang selamat saya sendiri. Sepanjang hidup saya, 24 tahun hidup bilik berkongsi,” tulisnya meluah perasan yang sudah lama terpendam.
Tidak hanya itu, Syada turut memaklumkan mengapa sehingga kini dia mengambil pendekatan berhati-hati untuk membuat keputusan berkahwin disebabkan situasi masa lalu itu.
“Itu salah satu sebab kenapa saya berubah fikiran dari nak kahwin secepat mungkin kepada nanti-nanti sajalah.
“Sebab saya tidak boleh ada orang di ruang saya, sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun,” katanya lagi.
Meninjau di ruangan komen, kebanyakan netizen bersimpati dengan Syada, namun ramai juga yang memintanya terus kuat menghadapi ujian kehidupan yang sudah ditetapkan Tuhan.
“Semoga Syada terus kuat. Didoakan agar segala urusanmu dipermudahkan Allah,” komen netizen.
“Ujian hidup masing-masing. Tapi Syada kalau ada masa free, pergilah ‘me time’, ujar seorang warganet.
“Cantiknya Syada, saya tahu awak juga seorang wanita yang kuat. Bangkit dik,” kata pengguna media sosial.
Pernah mengembangkan karier nyanyiannya ke China sebagaimana kakaknya, Syada juga menyertai rancangan realiti Idola Kecil di TV9 pada 2008. – HARIAN METRO
