Pengendali Nigeria dakwa DR Congo guna ‘voodoo’

RABAT: Pengendali Nigeria, Eric Chelle, mendakwa unsur “voodoo” digunakan pasukan Republik Demokratik Congo (DR Congo) selepas skuadnya tersingkir daripada saingan kelayakan Piala Dunia 2026 menerusi penentuan penalti di Rabat.

Nigeria dan DR Congo terikat 1-1 selepas masa tambahan dalam aksi playoff Afrika, sebelum wakil Afrika Tengah itu menang 4-3 menerusi penentuan penalti untuk mara ke playoff antara konfederasi di Mexico pada Mac depan.

Chelle, bekas pemain antarabangsa Mali yang mencatat empat kemenangan dan dua seri dalam aksi kompetitif sejak mengambil alih Super Eagles, berkata beliau melihat individu pasukan DR Congo melakukan gerakan tangan berulang kali “seperti menabur atau menggoncang sesuatu”.

“Sebab itu saya sedikit gementar,” kata Chelle sambil menegaskan beliau tidak pasti sama ada bahan itu air atau sesuatu yang lain.

Dalam penentuan penalti penuh debaran itu, empat sepakan berjaya diselamatkan manakala satu lagi tersasar.

Kapten DR Congo, Chancel Mbemba, pula menunjukkan ketenangan luar biasa apabila menyempurnakan sepakan kemenangan meskipun berdepan botol yang dibaling ke arahnya dan hujan lebat di stadium.

Nigeria, pasukan gergasi Afrika yang berada 19 tangga lebih tinggi berbanding DR Congo dalam ranking dunia, turun sebagai pilihan tetapi kecundang.

Kekalahan ini bermakna Super Eagles gagal layak ke Piala Dunia untuk edisi kedua berturut-turut – sesuatu yang tidak berlaku sejak penampilan sulung mereka pada tahun 1994.

DR Congo pula berharap kembali ke pentas Piala Dunia selepas satu-satunya penyertaan mereka pada tahun 1974 ketika negara itu dikenali sebagai Zaire. – AFP

More From Author

Fattah mohon doa buat isteri – Peminat cemas lihat foto katil hospital

Wanita misteri tolak kereta sorong bayi di lebuh raya