KUALA LUMPUR: Selama lebih tiga dekad, Raja Azmi Raja Sulaiman terpahat sebagai antara figura berpengaruh dalam dunia hiburan tempatan.
Figura seni berusia 66 tahun itu sudah melakar pelbagai kejayaan melalui koleksi karya hebat yang meletakkannya sebagai antara anak seni disegani.
Karya terbitannya seperti filem Black Widow Wajah Ayu pada 1994, komik autobiografi Anak-Anak Sidek (1995), Cinta 200 Ela (2001) dan Haru Biru (2007) menjadi ‘tanda dagang’ untuk dirinya terus berkelana dalam dunia seni.
Ini membuktikan sentuhan Raja Azmi atau mesra disapa Kak Mi memiliki nilai dan harga tinggi apabila masih diingati ramai biarpun zaman sudah berubah.
Namun, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, anak seni kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu mengakui jiwa seninya yang selama ini hanya sebatas di belakang tabir, seakan memanggil untuk tampil ke depan layar pula.
Prinsip dipegang Raja Azmi adalah setiap fasa hidup harus diteroka dan setiap cabang seni wajar dirasai.
Lantaran itu, daripada menjadi penerbit dan pengarah di set penggambaran, Raja Azmi mula jatuh cinta sebagai pelakon. Lantas, ini menjadi transformasi yang membuktikan cintanya terhadap dunia seni tidak pernah pudar.
“Sebenarnya, sebelum ini saya memang hanya bertugas sebagai penerbit. Saya sudah lama dalam bidang penerbitan dan sudah hasilkan enam hingga tujuh filem.
“Tetapi apabila usia makin meningkat, barulah keberanian untuk berlakon itu datang. Saya mula berlakon drama pada 2016 menerusi Marhaban Kome Oi. Itulah drama pertama yang saya berlakon,” katanya kepada BH Online.
Menurut Raja Azmi, keinginannya untuk berlakon bukanlah sesuatu yang baharu. Malah, percubaan awal sudah dilakukan pada 2012, namun, rasa gugup yang menguasai membuatkan hasrat itu terhenti seketika.
“Sebenarnya, sebelum itu, sekitar 2012 atau 2013, saya pernah cuba berlakon. Tetapi, ketika itu, terlalu gugup. Saya sangat gementar sampai berhenti terus.
“Selepas beberapa tahun, pada 2016 saya cuba lagi melalui drama dengan RTM. Dari situ, baru timbul rasa suka. Ini menjadi permulaan perjalanan saya sebagai pelakon,” katanya.
Berbekalkan pengalaman luas di balik tabir, Raja Azmi berkata, penampilannya di depan kamera ternyata menarik perhatian banyak pihak.
Akuinya, sedikit demi sedikit, penerbit mula membuka ruang, memberi kepercayaan dan mengiktiraf bakatnya sebagai pelakon versatil.
“Lama-kelamaan, penerbit mula nampak bakat saya. Mereka mula tawarkan watak demi watak. Dari situ, makin lama saya makin seronok berlakon. Sampai sekarang, lakonan sudah jadi suatu bentuk inspirasi dan ketenangan jiwa buat saya.
“Kadang-kadang apabila tiga hingga empat bulan tidak ada tawaran berlakon, saya jadi rindu dan sunyi,” katanya.
Namun, dalam meniti fasa baharu sebagai pelakon, Raja Azmi tidak pernah meninggalkan bidang penerbitan atau pengarahan.
Baginya, bidang itu sudah menjadi akar kepada perjalanan seninya.
“Sebelum ini, saya buat macam-macam seperti menerbit, menulis dan mengarah. Tetapi, akhirnya, saya sedar, jiwa sebenar ialah dalam lakonan.
“Saya pernah mengarah satu filem, tetapi, selepas itu, saya tidak berani hendak teruskan. Saya fikir kerja mengarah sangat mencabar.
“Bukan senang hendak bawa satu produksi. Jadi, saya pilih untuk kekal sebagai penerbit. Menerbit pun susah, tetapi cabarannya lain lebih banyak pening mengenai kewangan,” katanya.
Mengulas karya sentimental yang meninggalkan kesan mendalam buat dirinya, Raja Azmi berkata, filem Black Widow Wajah Ayu adalah salah satunya.
“Kalau hendak sebut karya paling sentimental sepanjang kerjaya, sudah tentu orang akan ingat akak melalui filem Black Widow Wajah Ayu.
“Ia adalah filem pertama adaptasi daripada novel pertama saya sendiri. Sampai sekarang orang masih ingat. Apabila dengar begitu, saya rasa bangga,” katanya.
Selain itu, Raja Azmi berkata, komik dan animasi Anak-Anak Sidek turut menyimpan sejarah tersendiri buatnya.
“Ramai juga yang masih kaitkan saya dengan Anak-Anak Sidek. Saya antara pencetus asal karya itu. Generasi lama memang kenal, tetapi generasi muda atau Gen Z mungkin tidak tahu.
“Apabila mereka tahu saya antara yang terbabit dalam penciptaan Anak-Anak Sidek, mereka terkejut dan kagum. Itu buat saya rasa sangat bangga,” katanya.
Kini, dalam era digital dan animasi, Raja Azmi melihat industri kreatif tempatan terus berkembang dengan pesat, meskipun berdepan cabaran tersendiri.
“Berbicara soal industri kreatif sekarang, saya lihat perkembangan animasi tempatan semakin rancak semula. Cuma, cabaran utama ialah kos tinggi untuk hasilkan animasi 3D.
“Zaman saya dulu masih 2D, jadi lebih mudah dan murah. Sekarang, bajet besar jadi halangan bagi penggiat kecil atau individu untuk terlibat secara serius.
“Hanya syarikat besar seperti Les’ Copaque yang menerbitkan Upin Ipin; Digital Durian (Didi & Friends) atau Monsta (BoBoiBoy) yang mampu bertahan kerana mereka sudah lama membina asas dalam bidang itu,” katanya.
Di sebalik kesibukan dengan dunia lakonan, Raja Azmi berkata, dia masih tekun menulis novel dan srkip drama atau filem.
“Selain berlakon, saya juga aktif menulis novel dan skrip, baik skrip drama mahupun filem. Ada beberapa karya yang saya sudah serahkan kepada syarikat penerbitan seperti UTV, insya-Allah akan diteliti.
“Sekarang, saya lebih selesa menulis dan berlakon mengikut rentak sendiri tidak tergesa-gesa, tetapi tetap produktif,” katanya menutup bicara.
Antara hasil penulisan Raja Azmi adalah Black Widow, Jendela Putih, Jijik, Kekasihnya Qasih serta Karkuma. – BH
