KUALA LUMPUR: Demi menyelesaikan penggambaran filem aksi terbaharu berjudul Banduan, Datuk Aaron Aziz sanggup mengetepikan kesakitan dan menolak berehat di wad biarpun dinasihatkan doktor.
Aaron, 49, berkata biarpun berdepan masalah kekurangan cecair dalam badan atau dehidrasi, dia memilih untuk kembali ke set penggambaran kerana tidak mahu pihak produksi terjejas dengan ketiadaannya sebagai teraju utama filem.
“Filem ini banyak adegan saya perlu berlawan dengan ramai orang. Semua babak dijayakan pada waktu malam dan kadang-kadang satu babak berlawan itu ambil masa satu hingga dua hari.
“Sudah tentu setiap lakonan saya mahu beri yang terbaik. Tetapi, disebabkan saya sudah berusia, setiap kali selepas buat babak seperti itu, sendi masih sakit dan tak hilang.
“Saya pun tak faham apa jadi dengan badan ketika itu. Saya sudah ambil ubat anti-inflammatory (bagi mengurangkan keradangan atau bengkak), namun, masih sama,” katanya ditemui pada malam gala dan sidang media filem Banduan di TGV Suria KLCC di sini, malam tadi.
Berkongsi keadaan ketika penggambaran filem pada April hingga Mei lalu itu, Aaron berkata, tahap kesihatannya kurang memuaskan sebelum mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan di hospital.
“Selesai penggambaran satu babak ketika itu, saya terus pergi hospital. Doktor buat pemeriksaan darah dan dalam badan saya tak cukup cecair sebab bekerja hari-hari.
“Selepas empat beg ‘drip’ masuk dalam badan, doktor beritahu bacaan saya sudah normal. Kemudian doktor nasihat untuk saya berehat dua hingga tiga hari.
“Tapi saya cakap tak boleh dan perlu keluar sebab masih ada penggambaran sampai doktor cakap saya ‘gila’,” katanya.
Aaron berkata, walaupun doktor menasihatinya untuk dimasukkan ke wad bagi tujuan pemantauan, dia tetap memilih untuk pulang kerana enggan menjejaskan jadual penggambaran yang sudah disusun rapi.
“Pada ketika itu doktor sarankan saya dimasukkan dalam wad untuk dua hingga tiga hari supaya dapat terus pantau.
“Tapi saya cakap tak boleh sebab kalau saya tak ada, mereka (produksi) hendak ‘shooting’ apa? Saya tak mahu produksi rugi disebabkan saya,” katanya.
Aaron berkata, dia sekadar melunaskan tanggungjawab sebagai pelakon, lebih-lebih lagi apabila diberi kepercayaan untuk memegang watak utama dalam naskhah besar.
“Itu adalah komitmen sebagai pelakon apabila diberi kepercayaan dan peluang untuk jadi watak utama untuk sesuatu projek.
“Kita perlu korbankan rasa sakit dan apa yang tak boleh, perlu cuba buat juga. Selagi masih boleh berdiri, saya akan teruskan penggambaran,” katanya.
Menerusi filem Banduan arahan Kroll Azry, Aaron membawa watak Dali, iaitu bekas banduan yang dibebaskan selepas 10 tahun, mahu bertemu semula anak perempuannya buat pertama kali.
Namun, perjalanan itu berubah apabila dia secara tidak sengaja terperangkap dalam misi berbahaya bersama Inspektor Johari untuk menyelamatkan sekumpulan anggota polis yang diracun.
Filem adaptasi daripada filem pecah panggung India terkenal, Kaithi bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 6 November ini dengan pembabitan pelakon hebat lain seperti Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Fadli Masoot dan ramai lagi. – BH
