America de Cali tamatkan kontrak Holgado?

KUALA LUMPUR: Nasib malang dikatakan menimpa pemain warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado apabila kelabnya America de Cali didakwa sedang dalam proses menamatkan kontrak penyerang berusia 28 tahun itu.

Wartawan sukan Colombia, Pipe Sierra menerusi satu perkongsian di laman X, hari ini mendakwa langkah itu diambil susulan keputusan Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), kelmarin.

“America (de Cali) melalui peguamnya, kelab itu sedang dalam proses bagi penamatan kontrak Rodrigo Holgado, susulan keputusan daripada Jawatankuasa Rayuan FIFA.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang menyediakan kes itu untuk peringkat seterusnya, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS),” tulisnya.

Jawatankuasa Rayuan FIFA, kelmarin mengumumkan keputusan menolak rayuan FAM berhubung hukuman yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan bola sepak dunia itu pada September lalu.

FAM mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bertulis dan selepas penerimaan keputusan itu, mereka memiliki 21 hari untuk mengemukakan rayuan kepada CAS.

Keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA itu menyaksikan hukuman denda sebanyak CHF 350,000 (RM1.8 juta) yang dikenakan ke atas FAM oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum ini kekal.

Sementara itu, pemain terbabit iaitu Holgado, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano pula digantung 12 bulan selain masing-masing didenda CHF 2,000 (RM10,411). – BH

More From Author

JAKIM sudah arah MFW tarik balik pengiktirafan ‘Muslim Choice’ – Menteri

Korban taufan Kalmaegi di Filipina meningkat kepada 66 orang