Kematangan Mickey pikat hati Nora

KUALA LUMPUR: Biarpun pernah melalui episod cinta yang berakhir dengan air mata, pelakon dan usahawan terkenal Nora Danish tidak pernah menyesali takdir yang tersurat,

Bagi Nora atau nama penuhnya Nora Mohd Danish Hanif, 43, setiap hubungan yang gagal bukan satu kerugian, sebaliknya pengalaman berharga untuk memperbaiki diri dan memahami erti sebenar kehidupan.

“Saya memang tak pernah menyesal soal cinta. Setiap hubungan yang datang, baik atau buruk, adalah sebahagian daripada perjalanan hidup. Saya belajar sesuatu daripada setiap kisah itu,” katanya ditemui pada majlis pelancaran Amber Oasis 2.0- MIRAGE: A Secret by The Desert di Amber Flagship, Kuala Lumpur, kelmarin.

Tambah Nora, dia tidak pernah melihat kegagalan dalam cinta sebagai penamat kebahagiaan hidup.

“Kalau gagal sekali atau dua kali, tak bermakna hidup saya berakhir atau hilang kepercayaan terhadap lelaki. Saya percaya, Allah akan hadirkan seseorang yang lebih baik, sambil menjadikan saya juga insan yang lebih baik,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga mengakui masih menyimpan harapan untuk kembali mendirikan rumah tangga apabila tiba waktunya.

“Sudah tentu saya masih mahu berkahwin. Saya nak ada pasangan yang sama-sama menuju ke syurga. Hidup seorang diri pun penat juga. Kalau ada teman memahami, tentu lebih indah. Tapi saya serahkan segalanya pada Allah,” katanya.

Mengulas gosip yang mengaitkannya dengan perunding kewangan dikenali sebagai Mickey Ayo, Nora berkata, perbezaan usia bukan halangan dalam hubungan mereka.

“Setakat ini, Alhamdulillah, semuanya baik. Saya berjiwa muda, jadi saya tak rasa perbezaan umur itu masalah besar.

Mickey pula matang dan tahu cara menenangkan saya. Kami saling melengkapi,” katanya.

Tambah Nora, lelaki berusia 33 tahun itu juga seorang yang menyenangkan dan mudah membuatnya ketawa.

“Dia jenis yang fun, banyak buat saya ketawa. Dalam masa sama, dia juga bantu beri idea dalam bisnes.

“Tapi saya tak nak cakap lebih-lebih, sebab kita tak tahu ke mana arah hubungan ini. Buat masa ini kami fokus pada kerja masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nora kini memberi tumpuan terhadap perniagaan makanan dan minuman menerusi pembukaan restoran Padang Teduh yang mula beroperasi dua minggu lalu.

Tanpa disangka, restoran itu mendapat sambutan luar biasa sejak hari pertama, malah menarik pelanggan dari negeri jauh seperti Kelantan, Terengganu dan Johor.

“Ramai pelanggan datang, terutama mak cik yang dulu tengok saya berlakon dalam Puteri.

“Bila mereka puji masakan, saya terharu sebab mereka ini pandai masak. Jadi bila mereka puji, rasa sangat tersentuh,” katanya.

Nora turut menghargai setiap teguran pelanggan dan menganggap ia sebagai ruang memperbaiki kualiti hidangan serta perkhidmatan.

“Saya bersyukur bila ada yang menegur sebab itu tanda mereka peduli.

“Dalam bisnes makanan, nak jaga kualiti bukan mudah. Tapi saya ambil setiap teguran dengan hati terbuka,” katanya. – BH

More From Author

‘Dua jam saya riba jasad suami tanpa kepala’

JDT, Selangor pilihan ‘hangat’ ke final