Siti ukir sejarah, 58,000 tiket terjual dalam dua minggu

BUKIT JALIL: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi mencipta fenomena apabila jualan tiket Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Januari tahun depan, mencatat angka luar biasa iaitu 58,000 tiket habis dijual dalam tempoh dua minggu!

Mengakui terharu dan bersyukur atas sambutan luar jangka itu, Siti berkata hanya 2,000 tiket terakhir masih berbaki membabitkan kategori VIP, Platinum dan Gold.

“Alhamdulillah, sambutan ini sangat luar biasa. Pada awalnya saya agak bimbang juga sebab sekarang terlalu banyak konsert diadakan di Malaysia.

“Tapi saya dimaklumkan, tak sampai sebulan, malah dalam dua minggu lebih separuh tiket sudah habis dijual,” katanya ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya, Gema Bumantara, di TGV Pavilion Bukit Jalil, semalam.

Mengulas lanjut, Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin, 46, menjelaskan kebimbangannya bukan tanpa sebab memandangkan kali ini beliau memilih pentas yang jauh lebih besar iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil dan bukan lagi Axiata Arena yang pernah menjadi lokasi dua konsert solonya sebelum ini.

“Saya beritahu Kak Rozi (pengurus), bolehkah kita buat di stadium besar? Tapi akhirnya, Allah permudahkan segalanya. Peminat saya memang luar biasa,” ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai persiapan konsert, Siti berkata sesi latihan akan bermula bulan depan, dengan barisan 25 lagu terbaik yang disusun rapi untuk memukau peminat.

“Saya janji akan beri persembahan yang menghiburkan dan tidak menghampakan. Yang penting, penonton puas hati, daripada sistem bunyi sampai ke setiap nota yang dilantunkan,” katanya.

Siti juga sempat berpesan agar peminat mendoakan kesihatannya menjelang konsert berkenaan, selain berharap cuaca mengizinkan.

“Doakan saya sihat dan cuaca baik. Risau juga kalau hujan atau banjir, tapi saya yakin semuanya akan dipermudahkan,” kata Siti yang sudah merakamkan lebih 20 album sepanjang kariernya.

Menariknya, Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza bukan sekadar persembahan besar, sebaliknya detik peribadi yang cukup istimewa apabila berlangsung sehari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-47.

Lebih bermakna, penganjuran konsert itu turut seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), sekaligus dijangka menarik kehadiran peminat dari pelbagai negara dan mengangkat nama Malaysia sebagai pusat hiburan bertaraf dunia. – BH

More From Author

Tibet tutup akses ke Gunung Everest akibat salji tebal di luar musim

Beri rasuah RM600 kepada pegawai MBIP, peniaga didakwa