BEIJING: Salji lebat luar musim mendorong pihak berkuasa di bahagian Tibet di Gunung Everest menggantung sementara akses pelancong ke gunung tertinggi dunia itu.
Ia berikutan taufan yang melanda India menyebabkan perubahan cuaca sehingga ke kawasan pergunungan Himalaya.
Jualan tiket ke kawasan tarikan itu digantung mulai awal petang Selasa selepas salji dan ais menebal di beberapa bahagian, manakala biro meteorologi daerah memberi amaran mengenai ribut salji.
Keadaan cuaca ketika ini tidak sesuai untuk laluan kenderaan, menurut jabatan pelancongan di Daerah Tingri, daerah paling ramai penduduk di Tibet yang terletak di sempadan China-Nepal.
Belum dapat dipastikan sama ada terdapat pelancong yang masih terperangkap di kawasan pergunungan Everest di Tibet.
Pejabat media kerajaan Tibet belum memberikan maklum balas terhadap pertanyaan Reuters.
Taufan Montha dijangka membawa angin kencang dan hujan lebat ke pantai timur India ketika ia semakin kuat di Teluk Benggala, memaksa pihak berkuasa memindahkan kira-kira 50,000 orang ke kem bantuan pada Isnin.
Awal bulan ini, ribut salji telah memerangkap ratusan pendaki berhampiran bahagian timur Gunung Everest di Tibet apabila salji dan hujan luar biasa melanda kawasan Himalaya.
Pasukan penyelamat kemudian mengiringi mereka ke pekan kecil Qudang untuk keselamatan.
Data ramalan cuaca menunjukkan suhu di Tingri dijangka terus menurun di bawah paras beku dalam beberapa hari akan datang.
Di seberang sempadan, di kawasan pergunungan barat dan utara Nepal, media tempatan melaporkan salji dan hujan lebat turut menjejaskan aktiviti pendakian, termasuk di Kem Asas Annapurna, Litar Manaslu dan Mustang.
Pihak berkuasa bencana Nepal memberi amaran mengenai hujan dan salji berterusan hingga Jumaat.
Menurut laporan media Nepal, jejak pendakian ke Kem Asas Annapurna telah ditutup, dan pendaki dinasihatkan berlindung di rumah tumpangan atau turun ke kawasan rendah. – REUTERS
