TOKYO: ‘Stablecoin’ pertama di dunia yang ditambat kepada mata wang yen dilancarkan di Jepun hari ini.
Langkah kecil itu dianggap penting di negara di mana kaedah pembayaran tradisional seperti tunai dan kad kredit masih mendominasi infrastruktur kewangan.
Sebuah syarikat pemula Jepun, JPYC, berkata ia akan mula mengeluarkan ‘stablecoin’ yang boleh ditukar sepenuhnya kepada yen dan disokong oleh simpanan domestik serta bon kerajaan Jepun (JGB).
‘Stablecoin’ adalah jenis mata wang kripto diwujudkan bagi mempertahankan nilai yang stabil dengan menambatkan nilainya ke aset yang lebih stabil di dunia nyata.
Tujuan utama ‘stablecoin’ adalah untuk menggabungkan dua aspek terbaik iaitu kecepatan dan keamanan teknologi ‘blockchain’ dengan kestabilan harga aset tradisional.
Syarikat Jepun itu berkata ia pada mulanya tidak akan mengenakan yuran transaksi untuk ‘stablecoin’ yang dinamakan JPYC itu bagi menumpukan kepada pengembangan penggunaannya, sebaliknya menjana pendapatan daripada faedah pegangan JGB.
Langkah itu dibuat susulan sokongan Presiden AS, Donald Trump, terhadap sektor mata wang digital itu, yang mencetuskan kebangkitan minat untuk menggunakan teknologi blockchain dalam sistem kewangan arus perdana.
China juga sedang mempertimbangkan untuk membenarkan penggunaan ‘stablecoin’ yang disokong yuan.
Ini adalah petanda momentum global yang semakin meningkat dalam penggunaan mata wang digital yang biasanya dipautkan kepada mata wang fiat dan menawarkan urus niaga yang lebih pantas serta murah.
Akhbar Nikkei melaporkan awal bulan ini bahawa tiga bank gergasi utama Jepun juga akan bersama-sama mengeluarkan ‘stablecoin’, yang mungkin mendorong aset digital itu ke arus perdana dalam kalangan penduduk yang sebelum ini sangat menggemari tunai.
‘Stablecoin’ yang disokong oleh dolar AS kini mendominasi pasaran, menyumbang lebih 99 peratus daripada bekalan ‘stablecoin’ global, menurut Bank for International Settlements.
Di Asia, Jepun menetapkan peraturan pada tahun 2023 untuk membenarkan pengeluaran ‘stablecoin’. Korea Selatan juga berjanji untuk membenarkan syarikat memperkenalkan ‘stablecoin’ berasaskan won.
Walaupun pelbagai institusi kewangan telah mengumumkan rancangan untuk melancarkan stablecoin, penggubal dasar menyuarakan kebimbangan.
Ini kerana ‘stablecoin’ boleh memudahkan pergerakan dana di luar sistem perbankan terkawal dan berpotensi menjejaskan peranan bank komersial dalam aliran pembayaran global.
“Stablecoin mungkin muncul sebagai pemain utama dalam sistem pembayaran global, sebahagiannya menggantikan peranan deposit bank,” kata Timbalan Gabenor Bank of Japan, Ryozo Himino, dalam satu ucapan minggu lalu.
Justeru, beliau menggesa pengawal selia global untuk menyesuaikan diri dengan realiti baharu dalam sistem kewangan.
Dikenali sebagai penduduk yang cenderung kepada mata wang fizikal, Jepun secara beransur-ansur menerima inovasi digital, dengan nisbah pembayaran tanpa tunai telah meningkat kepada 42.8 peratus pada 2024, berbanding 13.2 peratus pada 2010, menurut data kerajaan.
Tomoyuki Shimoda, bekas eksekutif BOJ yang kini merupakan ahli akademik di Universiti Rikkyo, Jepun, berkata ia akan mengambil masa untuk ‘stablecoin yen’ diterima berbanding yang disokong dolar AS iaitu mata wang rizab dunia yang digunakan secara global.
“Terdapat banyak ketidakpastian sama ada penggunaan ‘stablecoin yen’ akan meluas di Jepun,” kata Shimoda.
Jika bank utama menyertai pasaran, langkah itu boleh dipercepatkan, namun ia mungkin masih mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun. – REUTERS
