GEORGETOWN: Sebuah kereta Proton Saga mengalami kerosakan akibat dihempap bongkah batu dalam kejadian di Tingkat Paya Terubong 2, Paya Terubong di sini, hari ini.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pulau Pinang, kejadian berlaku jam 7.52 malam pada jarak 60 meter dari sebuah premis berhampiran.
“Ia berpunca daripada hujan lebat berterusan dan terdapat limpahan air dari atas bukit. Tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu,” menurut laporan berkenaan.
Difahamkan, sebuah kereta Perodua Axia yang di parkir berhampiran turut dikesan mengalami kerosakan.
Turut berada di lokasi Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sehubungan itu, lokasi kejadian sudah ditutup kepada laluan orang ramai.
“Orang awam dinasihati menjauhi tebing berkenaan. Makluman diberi kepada agensi teknikal bagi tindakan lanjut,” menurut laporan itu lagi.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai kejadian tanah runtuh disusuli batu menggelongsor di Taman Terubong Jaya, juga di Paya Terubong di sini.
Ia susulan kejadian hujan lebat berterusan yang melanda sekitar Pulau Pinang. – BH
