Lagu baharu Ara lebih ‘sakit’ daripada Menjaga Jodoh Orang Lain

KUALA LUMPUR: Lagu ciptaan komposer Indonesia, Ilham Baso berjudul Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL) cukup melonjakkan karier seni bakat yang lahir daripada musim ke-13 Akademi Fantasia (AF13), iaitu Ara Johari.

Single yang diperkenalkan tahun lalu itu, sudah meraih 20 juta tontonan di platform YouTube. Kejayaan cemerlang itu sedikit sebanyak memberi tekanan buat Ara dalam memilih lagu baru yang dapat memberi impak setanding Menjaga Jodoh Orang Lain.

Penyanyi berusia 28 tahun ini memberitahu, dia bakal tampil dengan single terbaharu menjelang pertengahan bulan depan.

Masih merahsiakan komposer single terbabit, Ara berkata, lagu berkenaan sudah siap dan tidak untuk memperdengarkannya kepada peminat.

“Insya-Allah, jika tiada aral lagu baharu akan dilancarkan pertengahan November ini. Kita sudah susun dan rancang dengan baik kemunculan single ini.

“Saya harap lagu baharu ini akan diterima. Namun, saya tidak boleh kongsi lebih-lebih. Apa yang boleh diberitahu, lagu itu masih berkonsepkan patah hati, tetapi lebih ‘sakit’ daripada Menjaga Jodoh Orang Lain” katanya ditemui pada majlis tayangan filem Indonesia, Siapa Dia arahan Garin Nugroho di sini, baru-baru ini.

Dalam filem itu, Ara atau nama sebenar, Nurfarrah Izzatie Johari menyumbangkan suara untuk runut bunyi berjudul Cinta Terhebat bagi edaran di Malaysia.

Ara berkata, biarpun runut bunyi itu untuk edaran di Malaysia, dia berbangga dengan peluang diberi penerbit eksekutif projek itu, Faizal Lubis.

“Ini pengalaman cukup bermakna untuk saya apabila mendapat peluang merakamkan lagu di Indonesia. Saya terkejut apabila Ade Govinda hubungi saya. Dia beritahu ada sebuah filem yang bakal ditayangkan di Malaysia memerlukan vokalis untuk nyanyikan OST bagi tayangan di negara ini.

“Tanpa berfikir panjang, saya hubungi pengurus untuk berbincang. Kami bersetuju untuk menjayakan projek itu.

“Walaupun suara saya hanya digunakan untuk versi Malaysia, saya lihat ini peluang baik untuk kembangkan karier termasuk di Indonesia,” katanya. – BH

More From Author

Hamas kecam Israel kerana gagal buka laluan penting Rafah di Gaza

Wanita Bangladesh didakwa potong ‘anu’ kekasih kerana cemburu