Akram, Salem jadi penanda aras buat Arif Aiman

KUALA LUMPUR: Dua bintang bola sepak yang ‘meletup’ di Asia, Akram Afif dan Salem Al-Dawsari tampak menjadi penanda aras yang perlu diraih oleh pemain sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi.

Justeru, pemain berusia 23 tahun itu mengakui betapa beliau perlu terus bekerja keras dalam usaha mencapai tahap terbaik seperti diperagakan Akram yang beraksi bersama Al-Sadd dan Salem yang mewakili Al-Hilal itu.

Arif Aiman adalah antara tiga calon akhir bagi merebut Anugerah Pemain Terbaik Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2025 di mana Akram dan Salem turut tercalon bagi edisi ke-29 itu.

Arif berkata, beliau cukup teruja apabila menjadi calon pertama dari Malaysia bagi merebut anugerah terbabit kali ini.

“Saya sentiasa berikan yang terbaik untuk kelab dan negara. Saya amat teruja menjadi pemain Malaysia pertama yang berada di sini.

“Ini adalah permulaan untuk saya. Saya perlu bersedia bekerja lebih keras dan menumpukan sepenuh komitmen untuk mencapai tahap seperti Akram dan Salem.

“Saya akan menjadikan mereka sebagai contoh dan dorongan untuk memikul tanggungjawab serta mencapai tahap tertinggi,” katanya.

Sebagai rekod, Arif Aiman adalah calon kedua dari Asia Tenggara yang pernah tersenarai dalam tiga calon akhir selepas pemain Thailand, Therdsak Chaiman melakukannya pada 2003.

Berdasarkan kenyataan di laman AFC, badan induk bola sepak Asia itu menyifatkan Arif Aiman menikmati kempen luar biasa sepanjang musim 2024/25.

Arif Aiman juga mengekalkan prestasinya dalam kancah Liga Super musim ini apabila menjadi pemain paling menyerlah sekali gus meneruskan konsistensinya.

Dengan enam jaringan dan 10 bantuan jaringan, Arif Aiman muncul sebagai pemain dengan sumbangan gol terbanyak (16 gol) dalam Liga Super setakat ini. – BH

More From Author

PSSI tamatkan kontrak Kluivert

Ular sawa ‘ziarah’ nak makan sup