JAKARTA: Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengambil keputusan untuk menamatkan khidmat ketua jurulatih skuad kebangsaan, Patrick Kluivert, atas persetujuan bersama susulan kegagalan pasukan itu melangkah lebih jauh dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, PSSI menjelaskan, keputusan itu dibuat sebagai sebahagian daripada penilaian semula menyeluruh terhadap hala tuju dan strategi pembangunan bola sepak negara itu.
Kluivert, bekas penyerang antarabangsa Belanda dan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona, dilantik pada Januari lalu dengan kontrak dua tahun bagi menggantikan jurulatih terdahulu dari Korea Selatan, Shin Tae-yong.
Namun, beliau bersama barisan kejurulatihannya kini menamatkan perkhidmatan yang merangkumi skuad senior, bawah 23 tahun (B-23) dan bawah 20 tahun (B-20) Indonesia.
Pengerusi PSSI merangkap Menteri Sukan, Erick Thohir, dalam kenyataan berasingan, menzahirkan penghargaan kepada Kluivert serta pasukannya atas sumbangan dan komitmen mereka sepanjang tempoh bersama skuad Garuda.
“Terima kasih kepada Kluivert dan barisan kejurulatihan beliau yang memainkan peranan penting dalam kemajuan pasukan kebangsaan.
“Penghargaan turut diberikan kepada penyokong, pemain, keluarga serta pegawai yang terus memberikan sokongan tanpa henti hingga membantu Indonesia mara ke pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026 — satu pencapaian bersejarah buat bola sepak negara,” katanya.
Erick turut menegaskan bahawa PSSI kini akan melaksanakan penilaian menyeluruh serta merangka sasaran baharu bagi memperkukuh prestasi skuad kebangsaan, termasuk usaha menembusi kelompok 100 terbaik dunia dalam ranking FIFA, layak ke Piala Asia 2027 dan mara ke Piala Dunia 2030.
