BATU PAHAT – Seramai 473 orang penerima i-pesona yang terdiri daripada ibu tunggal di Senggarang melahirkan rasa bersyukur selepas menerima Bantuan Kasih Johor disampaikan hari ini.
Melalui bantuan itu, ia bukan hanya boleh digunakan untuk menampung keperluan peribadi penerima namun turut digunakan untuk membeli keperluan dapur khususnya mereka yang tinggal bersendirian tanpa anak-anak.
Shamsiah Abdul Hamid,79, yang kematian suami sejak 26 tahun lalu akibat kemalangan jalan raya dan kini tinggal bersama seorang anak lelakinya tidak menyangka adanya bantuan seumpama ini daripada kerajaan negeri Johor selepas sekian lama hidup sebagai ibu tunggal.

Katanya, dengan bantuan yang pertama kali diterimanya ini, ia akan digunakan sebaik-baiknya untuk keperluan diri dan dalam masa sama boleh membeli barang-barang dapur tanpa perlu membebankan anak-anak.
“Alhamdulilah, terima kasih kepada kerajaan yang telah menyediakan bantuan seumpama ini apatah lagi ketika rakyat berhadapan dengan masalah kenaikan kos harga barang ketika ini.
“Walaupun ia sekadar pemberian One Off namun cukup besar maknanya kepada rakyat seperti kami,”katanya.
Shamsiah berkata demikian selepas menerima bantuan i-pesona melalui Bantuan Kasih Johor yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Yusla Ismail di Senggarang hari ini.
Dalam pada itu, Jaidah Sahir, 64, yang kematian suami empat tahun lalu akibat sakit tua dan tinggal bersama seorang anak perempuannya turut menzahirkan rasa syukur dengan pemberian bantuan daripada kerajaan negeri Johor ini.
“Semoga kerajaan ini terus maju bersama perancangannya kerana dengan kemajuan itu akhirnya memberikan manfaat kepada seluruh rakyat di sini,”katanya.
473 orang ibu tunggal yang menerima i-pesona masing-masing bernilai RM300 seorang manakala 182 orang penerima bantuan warga emas memperolehi RM200 setiap seorang.