JOHOR BAHRU: Seorang pendaki mengalami pengalaman cemas apabila tersesat semasa mendaki bersama-sama sepupu dan dua rakannya di Gunung Pulai, dekat sini malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan I Jasni Saidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu pukul 10.19 malam.
Seramai 10 anggota dibantu sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Operasi tersebut turut melibatkan seorang anggota polis dan 10 malim gunung. Berdasarkan maklumat daripada waris mangsa, dia dikatakan mendaki bersama-sama sepupu dan rakannya tetapi telah tersasar laluan daripada mereka.
“Pasukan penyelamat dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa, Razi Rahmat yang berusia 35 tahun ditemukan pada point 2 di gunung berkenaan pukul 1.30 pagi tadi dalam jarak dua kilometer dari jalan utama dan kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke hospital dengan EMRS.
Operasi tamat pukul 3.18 pagi.- Majestic