Maresca yakin Palmer tak perlu jalani pembedahan

LONDON: Pengendali Chelsea, Enzo Maresca optimis pemain muda England, Cole Palmer tidak memerlukan pembedahan susulan kecederaan pangkal paha yang memaksanya dikeluarkan ketika skuad The Blues tewas 1-2 kepada Manchester United.

Palmer, 23, yang baru membuat dua penampilan selaku kesebelasan utama musim ini, hanya sempat beraksi selama 21 minit di Old Trafford sebelum mengalami kesakitan dan terpaksa digantikan.

“Pegawai perubatan tidak memaklumkan kepada saya mengenai sebarang keperluan untuk pembedahan. Saya tidak tahu sama ada dalam masa terdekat ini, tetapi secara jujurnya saya tidak fikir itu akan berlaku,” katanya kepada media.

Tambah Maresca, Palmer tetap mahu beraksi dalam perlawanan penting itu walaupun sedar dirinya belum pulih sepenuhnya.

“Dia melakukan ujian kecergasan dan lulus, cuma tidak 100 peratus cergas. Tetapi dia tetap mahu turun padang untuk membantu pasukan.

Malangnya, kesakitan itu tidak dapat dielakkan, jadi kami ambil keputusan untuk mengeluarkannya. Sekarang ini, kami akan pantau dari hari ke hari dan buat keputusan berdasarkan keadaannya.”

Palmer dijangka tidak diturunkan dalam aksi pusingan ketiga Piala Liga menentang Lincoln City, Rabu ini. – AFP

More From Author

Doktor berusia 100 tahun di Jepun masih berkhidmat, tiada hasrat bersara

Eira enggan layan dakwaan kaitkan anak dengan buli