CUEPACS tuntut elaun penginapan penjawat awam dinaikkan

KOTA BHARU: CUEPACS menuntut elaun penginapan penjawat awam dinaikkan susulan kadar penginapan hotel dua kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah elaun yang layak dimohon.

Presiden, Datuk Dr Adnan Mat, berkata kadar elaun penginapan semasa yang dinyatakan dalam Pekeliling Perbendaharaan sejak 15 tahun lalu tidak lagi relevan.

“Biasanya, mesyuarat atau program berkaitan banyak diadakan di Putrajaya yang mana kos penginapan agak tinggi, tambahan pula bagi anggota perkhidmatan awam yang berada jauh seperti Terengganu dan Kelantan.

“Justeru, CUEPACS menjadi suara kepada semua agensi atau jabatan perkhidmatan awam bagi menggesa kerajaan menyegerakan kajian berkaitan elaun penginapan, begitu juga elaun lain demi kebajikan pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tiga Tahunan Kali ke-17 Kesatuan Kakitangan KADA Tahun 2024 di Auditorium Tan Sri Mohamed Yaacob Ibu Pejabat KADA, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Adnan berkata CUEPACS turut membawa tiga cadangan utama berkaitan jawatan pembantu tadbir yang mana tidak diberi penarafan semula di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Cadangan pertama adalah supaya jawatan pembantu tadbir boleh dijumudkan (dihapuskan) secara terus daripada gred N1 kepada N5, manakala jika tidak dapat dilaksanakan, cadangan kedua ialah supaya mereka diberi bayaran sekali bayar.

“Selain itu, cadangan ketiga adalah tidak menghapuskan gred N1 tetapi apabila genap 15 tahun, pembantu tadbir diberi kenaikan gred N5 dan seterusnya dinaikkan pangkat kepada Gred N6, N7 dan N8.

“Bagaimana pun, apabila mereka bersara kelak, waran jawatan akan kembali semula kepada gred N1,” katanya.

Katanya, umum mengetahui, pembantu tadbir adalah tunjang untuk kementerian, jabatan mahupun agensi yang mana setiap permasalahan mereka juga perlu diambil perhatian.

Sehubungan itu, CUEPACS berharap kerajaan dapat menyegerakan kajian berkaitan dan membuat keputusan sejajar dengan permintaan perkhidmatan awam supaya anggota perkhidmatan awam dapat berkhidmat dengan lebih cekap dan telus. – BH

More From Author

Warga emas hilang ketika cuci bilah kipas bot

‘Kami bersedia perang selama 20 tahun lagi’ – Afghanistan tolak ancaman AS