KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri yang juga pegawai Jabatan Imigresen, disyaki mengumpul kekayaan dengan memainkan peranan penting dalam kegiatan sindiket ‘counter setting’ yang melepaskan warga asing memasuki negara tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
Pasangan itu didakwa bukan saja membeli barangan kemas daripada hasil kegiatan itu, malah mampu membuka sebuah kedai emas dengan simpanan emas mencecah nilai RM1.4 juta.
Perkara itu didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui platform TikTok rasminya, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 40-an itu dipercayai membuka sebuah kedai emas dengan bermodalkan wang rasuah diterima mereka sejak 2020.
Berdasarkan pendedahan itu, kedai terbabit dikatakan beroperasi dengan menjadikan adik ‘si isteri’ dan anak pasangan berkenaan sebagai proksi, dengan modal berjumlah kira-kira RM600,000.
Selain itu, ia memaklumkan hasil siasatan SPRM juga mendapati suspek dipercayai berperanan mengatur kemasukan warga asing ke negara ini tanpa dokumen lengkap.
Siaran TikTok itu turut memaparkan petikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata suspek berkenaan terbabit dalam tugasan program pemutihan yang bertujuan memberi peluang kepada majikan untuk mendapatkan permit kerja sah bagi pekerja asing tanpa permit.
Beliau berkata, proses itu memerlukan majikan menghantar fail pekerja warga asing terbabit untuk dibuat semakan pertama oleh Bahagian Penguat Kuasa.
“Setelah melepasi peringkat pertama tapisan, majikan yang mempunyai fail-fail warga asing perlu membawa fail berkenaan kepada suspek untuk menentukan kelengkapan dokumen sebelum memperoleh Akaun Penerimaan (AP).
“Bagaimanapun, bagi mempercepatkan proses berkenaan daripada tujuh hari kepada tiga hari saja, majikan dipercayai perlu membayar RM700 bagi setiap warga asing berkenaan,” katanya.
Ahmad Khusairi berkata, wang rasuah itu dipercayai diterima secara tunai dan diagihkan kepada pegawai lain yang menguruskan fail, dengan suspek disyaki menerima RM150 bagi setiap warga asing.
“Dalam tempoh empat tahun bermula 2020, suspek dipercayai telah mengumpul kira-kira RM900,000 yang digunakan untuk membuka kedai emas dan selebihnya membeli sebuah kereta mewah,” katanya.
Beliau turut mengesahkan ketika serbuan dibuat di kedai barangan kemas di Pahang, SPRM menemui simpanan emas dianggarkan seberat tiga kilogram dengan nilai harga semasa kira-kira RM1.4 juta.
“Melalui Ops Dygo, SPRM menahan reman pasangan suami isteri dalam lingkungan usia 40-an itu selama lima hari bermula 10 hingga 14 September selepas Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, membenarkan permohonan SPRM.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009,” katanya. – BH
