Apa pun status, kami tetap okay – Nadiyah

PETALING JAYA: “Bersama atau tidak, kami tetap bahagia.”

Itu jawapan ringkas namun penuh makna diberikan pelakon dan usahawan, Nadiyah Shahab, 32, ketika ditanya mengenai status rumah tangganya bersama Ben Ali.

Nadiyah atau nama sebenarnya Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab berkata, hubungan mereka masih baik, sama ada sebagai pasangan suami isteri mahupun sahabat.

“Kami baik-baik saja. Bersama atau tidak, sinergi dan keserasian itu tetap ada. Kami tetap rapat dan tiada masalah untuk bekerjasama.

“Jangan risau, apa pun status, kami tetap okay,” katanya ditemui pada majlis pra pelancaran Absolute Bazar X Festival Raya 2026, di sini, petang tadi.

Tambah Nadiyah, hanya waktu dapat merungkai persoalan mengenai rumah tangganya.

“Sampai masanya semua akan tahu. Mungkin dalam beberapa tahun lagi dan kalau nampak Ben bersama seseorang, maknanya betullah (sudah berpisah),” katanya.

Sementara itu, Ben, 32, menyerahkan kepada netizen untuk menilai kedudukan sebenar rumah tangganya bersama pelakon kelahiran Singapura itu.

“Persoalan sama ada kami masih suami isteri, terpulang kepada netizen untuk menilai.

“Cuma saya harap orang mendoakan yang baik-baik.Jangan fikir yang bukan-bukan. Kalau doa yang baik, Insya-Allah yang baik juga akan berlaku,” katanya.

Menurut Ben, biarpun berdepan gosip perpisahan, hubungan mereka tetap utuh kerana sudah lama bersahabat sebelum mendirikan rumah tangga.

“Walaupun kami sibuk dengan urusan kerja luar negara, kami tetap berhubung setiap hari.

“Absolute sudah jadi tanda dagang kami. Kalau tiada salah seorang, maka tidak lengkap Absolute.

“Kalau pun satu hari nanti kami bersama orang lain, hubungan saya dan Nadiyah akan kekal rapat sampai bila-bila. Orang baru itu pun kena terima yang kami tidak boleh berpisah,” katanya.

Spekulasi rumah tangga pasangan itu mula diperkatakan apabila mereka tidak menyambut Aidilfitri bersama pada Mac lalu. Namun, Ben dan Nadiyah menafikan dakwaan berkenaan.

Ben mendirikan rumah tangga dengan Nadiyah pada 10 November 2018 di The Ballroom at East Coast, Singapura. – BH

More From Author

Pemain muda Fulham menang Anugerah Gol Terbaik Bulanan untuk gol tidak ‘wujud’

Buka kaunter khas, kenapa biasa biarkan wanita hamil beratur panjang