Alvarez digantung 10 bulan

MADRID: Pertahanan Athletic Bilbao, Yeray Alvarez dikenakan penggantungan 10 bulan selepas didapati positif bahan terlarang susulan aksi Liga Europa menentang Manchester United musim lalu, menurut Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), hari ini.

UEFA dalam kenyataan memaklumkan, sampel yang diambil daripada pemain berusia 30 tahun itu selepas perlawanan pada Mei lalu mengesan kehadiran Canrenone, sejenis bahan yang disenaraikan dalam larangan Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

Bagaimanapun, badan induk Eropah itu mengakui bahan berkenaan diambil secara tidak sengaja, dengan Alvarez menjelaskan ia berpunca daripada ubat keguguran rambut selepas rawatan kanser testis yang pernah dihidapinya.

Namun, UEFA tetap menjatuhkan penggantungan 10 bulan dengan tarikh mula dikira sejak Jun lalu ketika Alvarez menerima penggantungan sementara secara sukarela.

Keputusan itu membolehkan dia kembali beraksi pada awal April tahun depan, selain dibenarkan menyertai latihan bersama rakan sepasukan dua bulan lebih awal.

Alvarez sebelum ini disahkan menghidap kanser testis pada 2016 sebelum kembali beraksi pada 2017, namun penyakit itu berulang pada tahun sama, menyaksikan dia sekali lagi melakukan kebangkitan pada 2018.

Ujian positif itu hadir selepas Bilbao tewas 0-3 kepada United pada aksi separuh akhir pertama Liga Europa di San Mames, 1 Mei lalu.

Berita penggantungan itu menjadi tamparan besar buat Bilbao yang bakal beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.

Ia hadir selepas kegagalan membawa pulang semula pertahanan tengah Sepanyol, Aymeric Laporte dari kelab Arab Saudi, Al-Nassr, pada penghujung jendela perpindahan. – AFP

More From Author

Abu Sahid mengaku tidak salah pecah amanah, ubah wang haram

Arif Aiman kekal berbisa