United sedia pinjamkan Onana ke Trabzonspor

LONDON: Andre Onana hampir meninggalkan Manchester United untuk menyertai Trabzonspor secara pinjaman hingga akhir musim, satu langkah yang boleh menamatkan kariernya di Old Trafford.

Masa depan Onana menjadi tanda tanya sepanjang musim panas selepas United mendapatkan penjaga gol baharu, Senne Lammens dari Antwerp dengan nilai £21.7 juta (RM124 juta) minggu lalu.

Walaupun ada jaminan daripada sumber rapat Onana akan kekal, pemain Cameroon itu dimaklumkan kelab tidak akan menghalangnya jika mahu berpindah.

Perbincangan segera dijalankan dengan Trabzonspor yang ketika itu sedang menjual penjaga gol utama mereka, Ugurcan Cakir kepada Galatasaray.

Hasilnya, persetujuan pinjaman dicapai dengan pantas dan Onana dijangka menyertai kelab Turkiye itu sebelum jendela perpindahan ditutup pada 12 September.

Sejak tiba dari Inter Milan dengan harga £47.2 juta (RM269 juta) dua tahun lalu, Onana gagal mencapai tahap konsisten yang diharapkan dan sering melakukan kesilapan besar.

Malah dalam penampilan tunggalnya setakat ini musim ini, dia melakukan kesilapan lagi ketika United dimalukan Grimsby Town pada pusingan kedua Piala Liga, dengan Altay Bayindir mengambil alih peranan bagi aksi Liga Perdana Inggeris.

Keadaannya bertambah sukar apabila dia terlepas keseluruhan pramusim susulan kecederaan hamstring pada hari kedua kembali berlatih di Carrington Julai lalu.

United sebelum ini turut menawarkan Onana kepada Monaco dengan harga £30 juta (RM171 juta), sambil terus dikaitkan dengan Lammens serta Emiliano Martinez dari Aston Villa.

Apabila United memilih Lammens berbanding Martinez minggu lalu, kelab dikatakan bersedia mengekalkan empat penjaga gol senior dengan Onana dijangka ke Piala Negara-Negara Afrika awal tahun depan.

Namun selepas pintu perpindahan dibuka, bekas penjaga gol Ajax itu memilih untuk menilai pilihannya meskipun masih mempunyai tiga tahun kontrak di Old Trafford.

Perpindahannya akan membuka ruang buat Lammens untuk bergelar penjaga gol utama baharu United dengan Bayindir dan Tom Heaton sebagai penjaga gol simpanan. – AGENSI

More From Author

Liverpool guna pakar sains sahkan perpindahan Isak

Takkan nak bawa watak ‘Datuk’ gatal, suami curang dan cerita berulang – Sidi Oraza