LONDON: Perpindahan impian Marcus Rashford ke Barcelona berisiko bertukar menjadi mimpi ngeri, menurut laporan dari Sepanyol.
Akhbar Catalan mendakwa kelab gergasi Sepanyol itu sudah mempertimbangkan untuk menghantarnya kembali ke Manchester United.
Penyerang England berusia 27 tahun itu menyertai Barca secara pinjaman semusim pada musim panas ini dengan klausa pilihan pembelian bernilai £30 juta (RM171 juta).
Namun selepas hanya tiga aksi La Liga, Rashford dilaporkan berada dalam senarai penyingkiran susulan prestasi hambar dan kini perlu segera membuktikan kemampuan dirinya.
Menurut dakwaan El Nacional, pengurusan Barca kecewa dengan permulaan lembab Rashford, malah menggambarkannya sebagai “pemalu, tidak tepat dan keliru” di tengah padang.
Pengurusan kini dilapor menimbang untuk menamatkan pinjaman lebih awal sebelum Krismas, yang akan menyaksikan Rashford kembali ke Old Trafford, walaupun kelab itu masih perlu membayar £4.3 juta (RM24.5 juta) kepada United.
Rashford sebelum ini berusaha keras untuk berpindah ke Nou Camp bagi melarikan diri daripada tempoh sukar di United selepas prestasi merudum dan rasa kecewa semakin meningkat di bilik persalinan.
Barcelona pula hanya berpaling kepadanya selepas gagal mendapatkan Luis Diaz dari Liverpool dan bintang Sepanyol, Nico Williams.
Jurulatih Hansi Flick menjadikan Rashford sebagai taruhan peribadi dengan harapan dapat menghidupkan semula kariernya.
Flick mahu membuka kembali potensi yang suatu ketika menjadikan Rashford – yang masih mengekalkan tempatnya dalam skuad England menentang Andorra – antara prospek paling hangat di Eropah.
Isyarat awal kelihatan positif apabila Rashford mempamerkan prestasi meyakinkan ketika pramusim dan mempamerkan beberapa detik yang memukau.
Namun dalam saingan liga, ceritanya berbeza kerana Rashford masih gagal menjaringkan gol atau melakukan bantuan jaringan dalam tiga perlawanan pertama, malah dikeluarkan pada separuh masa ketika kemenangan dramatik 3-2 Barca ke atas Levante. – AGENSI
