Kelab EPL pecah rekod jendela perpindahan

LONDON: Perpindahan penyerang Sweden, Alexander Isak dari Newcastle United ke Liverpool dengan nilai rekod British 125 juta pound (RM776 juta) pada tarikh tutup jendela perpindahan mengesahkan musim panas paling ‘gila’ dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Selain Isak, perpindahan besar lain seperti Newcastle mendapatkan Yoane Wissa dari Brentford bernilai 55 juta pound (RM341 juta) melonjakkan jumlah keseluruhan perbelanjaan liga terkaya dunia itu kepada 3 bilion pound (RM18.6 bilion) – angka tertinggi dalam sejarah.

Jumlah ini mengatasi rekod terdahulu 2.7 bilion pound (RM16.7 bilion) pada musim 2022-23, dengan perbelanjaan bersih 1.2 bilion pound (RM7.4 bilion) juga rekod baharu – meningkat 114 peratus berbanding musim panas lalu.

“Musim panas ini membuktikan dominasi kewangan Liga Perdana yang berada pada tahap berbeza berbanding liga lain di Eropah, hasil daripada kuasa hak siaran antarabangsa,” kata pakar kewangan bola sepak, Dan Plumley.

Menurut Deloitte, Liga Perdana menyumbang 51 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan lima liga utama Eropah, manakala purata perbelanjaan bersih Bundesliga, LaLiga, Serie A dan Ligue 1 hanya sekitar 90 juta euro (RM454 juta).

Liverpool muncul kelab paling boros selepas turut menandatangani bintang Jerman, Florian Wirtz dengan nilai awal 100 juta pound (RM620 juta), menjadikan perbelanjaan keseluruhan mereka 483 juta euro (RM2.5 bilion).

Chelsea pula berbelanja 328 juta euro (RM1.7 bilion) tetapi mencatat keuntungan bersih kecil selepas menjual pemain bernilai 332 juta euro (RM1.8 bilion), manakala Arsenal membelanjakan 293 juta euro (RM1.5 bilion).

“Liverpool mampu berbelanja kerana pendapatan mereka melepasi 600 juta pound (RM3.7 bilion) hasil kejayaan di atas padang, pengembangan stadium dan kerjasama komersial. Tetapi persoalan besar ialah sama ada kelab lain di luar kelompok elit boleh mengekalkan daya saing dalam landskap PSR (Peraturan Kemampanan dan Keuntungan) yang ketat,” tambah Plumley.

Liga Kejuaraan England (divisyen dua) turut mencatat rekod dengan jumlah perbelanjaan 240 juta pound (RM1.5 bilion), meningkat 95 juta pound (RM590 juta) berbanding musim sebelumnya. – REUTERS

More From Author

Ini bukan kali pertama saya diceraikan – Isteri Faisal Halim

Ee Wei unik, nakal – Jane