Kontrak CEO TH Plantations ditamatkan

KUALA LUMPUR: TH Plantations Bhd (THP) mengumumkan penamatan kontrak Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu makluman ringkas kepada Bursa Malaysia, Lembaga Pengarah syarikat itu memaklumkan bahawa surat penamatan telah diserahkan kepada Mohamed Zainurin hari ini.

Berita Harian melaporkan, pengumuman dibuat selepas THP merujuk kepada satu pengumuman lain bertarikh 18 Julai lalu yang meletakkan beliau dalam status ‘garden leave’ atau bercuti sementara.

Menurut makluman syarikat pada tarikh itu, Mohamed Zainurin telah diberikan surat tunjuk sebab berkaitan dakwaan bayaran tanpa kebenaran berjumlah RM5.1 juta yang dibuat kepada pekerja ladang.

Pada hari yang sama, Ketua Pegawai Kewangan syarikat turut diberikan surat tunjuk sebab tetapi beliau memilih untuk meletakkan jawatan serta-merta.

Bagi memastikan kelancaran operasi, THP telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah untuk mengambil alih fungsi CEO buat sementara waktu.

Pengumuman hari ini mengesahkan penamatan perkhidmatan beliau secara rasmi.

More From Author

Suami isteri antara 3 ditahan edar 1.03 kg dadah

Bakal doktor parah jatuh tingkat tujuh selepas dengar bisikan