Pelajar jatuh asrama tiga tingkat, KPM mula siasatan – tempatkan pengurusan sekolah di JPN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pada masa sama – Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sekolah yang seorang pelajarnya terbabit kemalangan, ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga proses siasatan selesai.

“Saya mengambil perhatian kemalangan yang membabitkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Selangor hari ini.

“Pelajar berkenaan sedang mendapat rawatan di hospital. Laporan kepada pihak polis telah dibuat supaya siasatan lanjut boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Fadhlina berkata, beliau akan memastikan siasatan dijalankan secara terperinci semua aspek berkaitan termasuk dakwaan buli dalam kejadian ini.

“Saya mendoakan supaya anakanda diberi kesembuhan segera dan keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazi Kahar, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.

“Siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan rakan sekelilingnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – BH

More From Author

Trump bakal hukum individu bakar bendera AS

Dua jaga menyamar polis, peras ugut RM2,000