Holdago perkuat Harimau Malaya hadapi Singapura, Palestin

KUALA LUMPUR: Penyerang berdarah warisan negara, Rodrigo Holgado sah akan memperkuat skuad Harimau Malaya bagi dua aksi persahabatan menentang Singapura dan Palestin, bulan depan.

Perkembangan itu dikongsikan wartawan Amerika Selatan, Nany Florez menerusi platform X.

Situasi itu menyaksikan pasukan yang diwakili Holgado, America de Cali terpaksa melupakan khidmat pemain itu untuk aksi domestik yang masih berlangsung di Colombia.

“Rodrigo Holgado dipanggil oleh skuad kebangsaan Malaysia untuk dua perlawanan persahabatan berdepan Singapura dan Palestin.

“Beliau tidak dapat diturunkan untuk perlawanan menentang Atletico Bucaramanga (3 September) Deportivo Cali (7 September),” katanya.

Sebagai rekod, penyerang berusia 30 tahun itu mencuri tumpuan pada penampilan sulung bersama skuad kebangsaan apabila meledak gol kedua ketika berdepan Vietnam, Jun lalu.

Terdahulu, pasukan seberang tambak, Singapura dan pasukan di ranking 98 dunia, Palestin akan menjadi lawan Harimau Malaya pada jendela perlawanan antarabangsa, bulan depan.

Dua pasukan itu menjadi pilihan skuad negara bagi mengisi kekosongan jendela September selepas mereka menarik diri daripada kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025.

Perlawanan menentang Singapura dan Palestin adalah sebagai persiapan sebelum menghadapi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 bermula dengan dua perlawanan berdepan Laos pada 9 dan 14 Oktober diikuti Nepal pada 18 November. – BH

More From Author

Cahaya pelik di langit gemparkan Bintulu

Trump bakal hukum individu bakar bendera AS