Fan Bingbing terima gelaran Datuk, komited bantu perkasa pelancongan Melaka

AYER KEROH: Model dan pelakon popular China, Fan Bingbing yang dianugerahkan gelaran Datuk pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka, hari ini, mahu kembali ke Melaka bulan depan bagi membantu mempromosikan negeri itu.

Bingbing yang dilantik sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka, dijangka ‘berkampung’ di negeri ini bulan depan menjelang penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.

“Sudah tentu (saya akan kembali ke Melaka). Saya akan berkongsi lagi (komitmen terhadap pelancongan Melaka) dan akan kembali ke Melaka pada September kerana terdapat banyak kerja dan usaha baharu (dalam sektor pelancongan) di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas istiadat penganugerahan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri itu sempena Sambutan Hari Jadi ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Pada istiadat berkenaan, Bingbing menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

Pada kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Bingbing dilantik sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka yang bertujuan mempromosikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan global.

Sejurus lantikan itu, Melaka mencatatkan lebih 320 juta carian manakala carian atas nama Bingbing pula melebihi 800 juta carian di platform seperti WeChat dan Weibo.

Secara keseluruhan, usaha berkenaan menyumbang kepada 1.5 bilion digital impressions Melaka di WeChat, sekali gus menjadi satu pencapaian rekod yang diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Bilangan pelancong dari China ke Melaka turut meningkat daripada 204,818 pada 2023 kepada 664,687 tahun lalu. – BH

More From Author

Apa reaksi korang apabila jiran datang rumah, tanya password WiFi

Anak bekas PM ditahan, polis jumpa dadah dalam kereta