PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Kota Damansara di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4.42 petang.
“Mangsa ditemui terbaring di laluan pejalan kaki oleh orang awam sebelum kejadian dimaklumkan kepada polis. Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia di tempat kejadian.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat enam pangsapuri berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Shahrulnizam, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Ainaa Athira di talian 010-2762186.
Terdahulu, seorang pengguna Threads memaklumkan berlaku kejadian kematian kanak-kanak berusia tiga tahun di Kota Damansara. – KOSMO! ONLINE
