Aminuddin gesa Hobin Jang Hobin banjiri stadium

SEREMBAN: Dianggarkan kira-kira 20,000 penyokong akan hadir menyaksikan pertembungan Liga Super antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Setakat jam 10 malam tadi, hampir 12,000 tiket sudah terjual, menurut pengurusan NSFC.

Jualan memberangsangkan itu didorong kemenangan besar 5-0 menentang PDRM FC pada aksi Piala FA di gelanggang sama Isnin lalu.

Prestasi baik anak buah Nidzam Jamil ketika aksi sulung Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim turut menjadi faktor, walaupun mereka tewas 3-5 di Iskandar Puteri pada 12 Ogos lalu.

Pertembungan dengan Selangor ini sememangnya ditunggu-tunggu peminat kedua-dua pasukan.

Penyokong Hobin Jang Hobin khususnya mahu terus menyaksikan kelibat penyerang utama mereka, Jovan Motika dan Joseph Esso, yang masing-masing sudah meledak empat dan dua gol dalam dua perlawanan.

Gesaan Menteri Besar merangkap Pengerusi NSFC, Datuk Seri Aminuddin Harun, turut merancakkan lagi penjualan tiket.

Beliau berharap lebih ramai penyokong hadir memberikan sokongan padu kepada pasukan.

“Saya mohon kepada semua penyokong Negeri Sembilan untuk sama-sama hadir pada perlawanan penting kita menentang Selangor pada Ahad (esok).

“Saya ucapkan terima kasih susulan kehadiran mereka tempoh hari menentang PDRM FC dengan jumlah kehadiran lebih 4,500 dan berharap kehadiran lebih ramai kali ini dengan bertemu Selangor iaitu musuh tradisi kita sebelum ini,” katanya. – BH

More From Author

ETS3 mula operasi KL-Kluang-KL 30 Ogos ini – Loke

Budak tiga tahun maut jatuh tingkat enam pangsapuri