Kutip hampir RM283,479, laman sesawang ‘Yayasan Diogo Jota’ dikesan palsu

LONDON: Laman sesawang sebuah yayasan yang mendakwa berjaya mengumpul hampir 50,000 pound (RM283,479) atas nama pemain Liverpool, Diogo Jota, kini hilang sepenuhnya sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesahihan dana berkenaan.

Terdahulu, Liverpool dan keluarga pemain itu menafikan sebarang kaitan dengan ‘Diogo Jota Foundation’ pada Khamis, selepas akhbar The Telegraph melaporkan aktiviti yayasan itu.

Laman sesawang ‘yayasan’ yang ditubuhkan tiga hari selepas kematian Jota pada Julai lalu, menyatakan ia sudah mengumpul 47,715 pound (RM270,524) untuk ‘memperkasa belia, membangunkan komuniti, dan membawa kegembiraan bola sepak kepada semua’.

Namun, domain laman sesawang berkenaan iaitu diogojotafoundation.org, kini hanya memaparkan halaman kosong.

Laman sesawang itu sebelum ini menggunakan logo Liverpool FC, Unicef, Allianz dan Platform NGO Pembangunan Portugal, tetapi tiga daripada organisasi berkenaan menafikan bekerjasama dengan yayasan itu ketika dihubungi oleh The Telegraph.

Selain itu, Suruhanjaya Amal mengesahkan bahawa yayasan itu tidak pernah memohon untuk mendaftar dengan mereka.

Pendaftaran adalah wajib jika pendapatan amal melebihi 5,000 pound (RM28,347) setahun dan jika ia berpusat di England atau Wales.

‘Yayasan’ itu mendakwa objektifnya adalah untuk ‘menghormati legasi Diogo Jota’.

“Melalui bola sepak, pendidikan, dan harapan, kami meneruskan apa yang ditinggalkan olehnya – mencipta peluang, kegembiraan, dan impak berpanjangan untuk belia di Gondomar dan di luar,” menurut kenyataan yang dibaca di laman sesawang itu.

“Diogo Jota Foundation ditubuhkan pada 2025 dengan satu matlamat: untuk meraikan perjalanan luar biasa Diogo dari sebuah akademi belia kecil di Gondomar kepada salah seorang pemain bola sepak paling dihormati di Eropah dan untuk meneruskan semangat itu.”

Yayasan itu mendakwa sudah menyediakan 25,000 hidangan, menaja 300 murid sekolah, dan mewujudkan 50 kerjasama tempatan.

Lebih mencurigakan, ‘yayasan’ itu hanya menerima pembayaran dalam bentuk mata wang kripto. Ia mengarahkan pengguna ke sebuah platform lain di mana mereka boleh membayar menggunakan ‘USDT, ETH, dan kripto lain melalui NOWPayments secara selamat’.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif NOWPayments, Kate Lifshits, memberitahu The Telegraph bahawa mereka tidak memproses sebarang pembayaran untuk yayasan berkenaan.

“Kami sedar sistem pembayaran NOWPayments mungkin digunakan untuk aktiviti pengumpulan dana yang menipu bagi pihak sebuah yayasan yang tidak berkaitan dengan keluarga Diogo Jota,” katanya.

“Saya boleh mengesahkan tiada pembayaran untuk yayasan ini diproses melalui NOWPayments. Sebaik sahaja kami menyedari dakwaan penipuan itu, kami segera menghentikan perkhidmatan kami kepada projek itu. Widget kami tidak lagi aktif di laman sesawang yayasan itu.”

Liverpool menafikan sebarang kaitan dengan yayasan itu namun pada bulan lalu mengumumkan rancangan untuk menubuhkan program bola sepak akar umbi atas nama Jota melalui LFC Foundation. – AGENSI

More From Author

PDRM sahkan pergi ke rumah penyanyi rap untuk serah surat panggilan saksi

Kelab disertai Ronaldo, Al-Nassr bakal dijual?