Akmal Saleh didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam

BUKIT MERTAJAM: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tiba di Mahkamah Majistret, di sini, jam 8.20 pagi ini.

Dia menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam.

Ketibaan Akmal disambut dengan laungan sorakan ‘hidup pemuda’ oleh ratusan penyokongnya yang berhimpun di luar bangunan mahkamah seawal jam 7 pagi tadi bagi menyatakan solidariti terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu.

Puluhan anggota polis ditempatkan di lokasi bagi mengawal lalu lintas dan pergerakan orang awam ke mahkamah selain memastikan keselamatan terjamin.

Terdahulu, Akmal, yang menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah pulang ke tanah air lebih awal bagi berdepan pertuduhan itu.

Pada 14 Ogos lalu, Akmal dilaporkan mengetuai lebih 300 individu daripada UMNO, BERSATU dan PAS dalam satu perarakan sejauh 1.4 kilometer bagi membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan bendera negara secara terbalik di Kepala Batas, dekat sini.

Sehubungan itu, DAP mengarahkan sayap Pemudanya (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis terhadap tindakan pemimpin muda UMNO itu.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, berkata laporan polis dibuat mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan, iaitu menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan.

Menurut Akmal menerusi hantaran Facebook (FB) sebelum ini menyatakan pertuduhan di mahkamah itu berkaitan kehadirannya dalam Himpunan Solidariti Bendera Pulau Pinang.

Katanya, pada 15 Ogos lalu beliau dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk diambil keterangan berhubung himpunan terbabit yang berakhir pada jam 2 pagi hari berikutnya. – BH

More From Author

DAPSY gesa arahan penutupan 30 hari klinik kibar Jalur Gemilang terbalik ditarik balik

Isu air: Johor jangan sesal kemudian tiada guna – Amanah