CYBERJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan pihaknya menerima banyak maklumat daripada Istana Johor berhubung isu penyeludupan di selatan tanah air negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata maklumat berkenaan disalurkan sendiri Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang akhirnya membawa banyak kejayaan operasi yang dijalankan pihaknya.
Beliau juga mengesahkan, maklumat itu sendiri adalah daripada jaringan hubungan Tunku Mahkota Ismail.
“Tunku Mahkota Ismail amat bekerjasama (dengan SPRM) dan banyak kami peroleh maklumat hasil ‘networking’ (jaringan) baginda.
“Baginda juga memberi kerjasama dan mahu perkara (penyeludupan di selatan tanah air) dibanteras sepenuhnya,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Penutupan Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (KOMAWAR) Edisi Kelima di Universiti Multimedia Malaysia (MMU), di sini hari ini.
Azam mendedahkan perkara itu selepas ditanya mengenai perkembangan Ops Sohor yang dijalankan SPRM dengan penahanan lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini.
Mengulas kes itu, Azam mengakui sindiket berkenaan dikesan berlaku di selatan tanah air sahaja dan tiada tangkapan baharu dalam radar SPRM.
Katanya, SPRM ketika ini sedang menjalinkan kerjasama dengan ATM termasuk berkongsi pelbagai maklumat berhubung penahanan pegawai kanan agensi itu.
“Pegawai-pegawai ini menjalankan kerja perisikan untuk mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber dan sepatutnya maklumat itu dikongsi hanya kepada pihak tentera dan pihak berkuasa lain sahaja.
“Tetapi mereka membocorkan aktiviti penguatkuasaan kepada pihak lain dan dikesan menerima bayaran dalam aktiviti penyeludupan itu,” katanya.
Tambah Azam lagi, SPRM sedang meneliti lokasi penyimpanan wang rasuah oleh sindiket.
“Wang-wang ini diterima dalam bentuk tunai dan kita sedang mengesan di mana wang itu disimpan lagi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata suspek juga akan diserahkan kepada pihak polis memandangkan terdapat kesalahan narkotik dilakukan oleh mereka yang ditahan itu.
BH sebelum ini melaporkan, lima pegawai kanan ATM membabitkan daripada Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dipercayai membocorkan maklumat kepada sindiket sehingga berlaku penyeludupan di perairan Selat Melaka sehingga Johor.
Mereka dipercayai menerima wang rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap penyeludupan dijalankan.
Siasatan SPRM turut mengesan pembabitan lima pegawai kanan itu dengan sindiket pengedaran dadah di negara ini. – BH
