KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangka permohonan inkues berhubung kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir dapat dikemukakan kepada koroner seawal minggu depan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, berkata proses itu perlu melalui saluran undang-undang yang ditetapkan sebelum dibawa ke mahkamah.
Beliau berkata, pihak polis sedang melengkapkan semua dokumen dan maklumat berkaitan bagi memastikan permohonan itu lengkap sebelum diserahkan kepada pihak terbabit.
“Jika semua berjalan lancar, permohonan itu dijangka dikemukakan kepada koroner seawal minggu depan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Beliau berkata, PDRM komited memastikan setiap langkah siasatan mematuhi prosedur dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak mahkamah bagi mendapatkan keadilan dalam kes ini. – BH
