Tiada sebarang tol dikenakan kepada penunggang motosikal – Nanta Linggi

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang tol akan dikenakan ke atas penunggang motosikal dan kementerian tak pernah mempunyai perancangan ke arah itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kenyataan menyatakan penunggang motosikal akan dikenakan tol mulai Oktober ini adalah tidak benar dan satu fitnah.

“Apa yang tular di media sosial berkenaan tol kepada penunggang motosikal adalah tak betul, saya rasa itu fitnah.

“Kenyataan itu boleh menimbulkan keresahan pengguna jalan raya, kita tak pernah ada cadang pun,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Laluan FT003 Dari Persimpangan Melor-Ketereh Ke Kampung Pak Badol (KM 19.75 KM 23.05), Kelantan di Kampung Pak Badol, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Semalam, tular di media sosial apabila pemilik laman sosial Ebidmotor.com mencetuskan polemik ramai apabila memuatnaik hantaran penunggang motosikal akan merasai pengalaman membayar tol mulai Oktober ini.

Sehingga kini, hantaran itu mendapat 6,900 tanda suka, 2,100 komen dan 576 perkongsian.

Terdahulu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menegaskan tiada sebarang perubahan terhadap kategori kenderaan yang dikenakan tol pada masa ini termasuk bagi penunggang motosikal. – BH

More From Author

Bayi 23 bulan maut disyaki didera bapa kandung, ibu tiri

Sembunyi atas siling elak dicekup berkhalwat dengan bini orang