Ayah gembira bila doktor maklumkan boleh keluar hospital – Anak Ali XPDC

KUALA LUMPUR: “Ayah gembira apabila doktor maklumkan dia boleh keluar hospital sama ada hari ini atau esok.”

Begitu perkongsian Wan Aliuddin Aqiel, 29, anak kepada penyanyi Ali XPDC ketika mengulas perkembangan terkini bapanya yang dirawat di Hospital Shah Alam (HSA).

Aqiel berkata, ayahnya semakin stabil selepas mendapatkan rawatan di Zon Kuning, Wad Pemerhatian di Hospital Shah Alam.

“Ayah dikejarkan ke hospital akibat kesukaran bernafas, Rabu lalu dan mendapat pemantauan rapi. Petang semalam barulah ayah dipindahkan ke wad biasa.

“Ayah sukar bernafas kerana terdapat air dalam paru-parunya. Bila ada air dalam paru-paru, jadi jantung akan pam lambat. Itu yang buat jantung ayah lemah.

“Doktor bagi ubat paru-paru untuk keluarkan air dari paru-paru. Saya bersyukur sepanjang di sini, ayah tak putus-putus diziarahi oleh kawan-kawan, keluarga dan adik-beradik,” katanya.

Ali, 57, pernah dikejarkan ke Hospital Cyberjaya pada 27 Mac lalu akibat masalah sama.

Pada masa sama, isterinya, Allahyarham Sharifah Azuwanna Syed Joned menghidap kanser payudara dan dimasukkan ke Hospital Putrajaya. Paling memilukan, arwah Sharifah Azuwanna, 53, akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.08 petang pada 6 April lalu. – HM Online

More From Author

Siram cuka putih 30 saat boleh legakan sengatan ubur-ubur – Public Health Malaysia

Edika Yusof, Nor Hidayah rujuk semula