KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan di sebuah kondominum di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini, malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata pasangan berusia 38 dan 50 tahun itu adalah ibu dan bapa angkat kepada bayi berkenaan.
Katanya, pasangan itu direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Siasatan lanjut mendapati ibu kandung bayi berkenaan adalah seorang wanita warga Indonesia yang dikenali sebagai Sri Rahayu.
“Suspek juga mendakwa bayi itu diserahkan oleh ibu kandungnya sebelum wanita berkenaan pulang ke Indonesia pada 18 Jun lalu.
“Setakat ini, proses bedah siasat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras, masih belum selesai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohamed Usuf sebelum ini dilaporkan berkata seorang bayi ditemui meninggal dunia di sebuah kondominium di Cheras malam tadi dengan kesan dipenuhi lebam di badan.
Polis menerima laporan jam 9.34 malam daripada seorang lelaki yang juga suspek dalam kes berkenaan, memaklumkan anak angkatnya tidak sedarkan diri di rumah berkenaan.
Sepasukan anggota polis segera ke lokasi dan menemui mangsa terbaring di ruang tamu dalam keadaan kebiruan serta kesan lebam di badan. – BH
