BAGAN SERAI: Kira-kira 100 jemaah menunaikan solat Istisqa di Titi Asmara, Kampung Selamat, di sini, bagi memohon hujan.
Solat sunat itu bermula jam 9 pagi dan diimamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing, Salehhuddin Abdullah, manakala khutbah dibacakan Sidek Noor.
Salehhuddin berkata solat berkenaan bertujuan memohon hujan berikutan paras takungan air di Empangan Bukit Merah makin menyusut dan pihaknya bimbang nasib pesawah selain bekalan air bersih untuk kegunaan domestik.
“Sudah berbulan lamanya kawasan Gunung Semanggol tidak menerima hujan dan selain solat hajat kita mahukan kerajaan menyegerakan pembinaan projek pembinaan air dari Perak ke Empangan Bukit Merah.
“Ini kerana sekiranya ia terus ditangguhkan pesawah di Kerian terutama di kawasan Gunung Semanggol dan Selinsing akan rugi besar, manakala nelayan darat yang bergantung harap di empangan ini akan hilang pekerjaan,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya penduduk semakin bimbang apabila difahamkan bekalan air bersih untuk kegunaan domestik juga mungkin terpaksa dicatu dalam masa terdekat ini.
“Kita harap pembinaan projek pemindahan air ini dapat disegerakan kerana kita bimbang kosnya akan meningkat.
“Pada awal perbincangan dahulu, kita dimaklumkan kosnya hanya RM300 juta dan kini meningkat pada RM800 juta dan mungkin mencecah RM1 bilion.
“Kelewatan projek ini bukan saja menjejaskan pesawah tetapi juga membabitkan isu keselamatan makanan negara,” katanya. – BH
