Veteran UMNO rayu PM persembah Titah Adendum kepada Agong

KUALA LUMPUR: Veteran UMNO merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera mempersembahkan persetujuan kerajaan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi melaksanakan Titah Adendum berhubung tahanan rumah ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata berdasarkan keputusan Peguam Negara yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum itu, hanya Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa merealisasikannya.

“Veteran UMNO dengan rasa rendah diri dan penuh harapan merayu Perdana Menteri supaya mempersembahkan kepada Agong persetujuan kerajaan untuk melaksanakan Titah Adendum Najib selepas Peguam Negara membuat keputusan bahawa ia wujud.

“Hanya Perdana Menteri dan Seri Paduka Baginda saja yang mampu melaksanakannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata partinya memohon titah tahanan rumah ke atas Najib dapat dilaksanakan selaras kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, ia susulan pengesahan kewujudan Titah Adendum berkenaan oleh Peguam Negara kelmarin.

Menurut Mustapha, pihaknya menghormati proses perundangan dan keputusan mahkamah, namun menegaskan Titah Adendum adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Veteran UMNO difahamkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan sebelum ini, tidak ada agenda mengenai tahanan rumah terhadap Najib dan Titah Adendum berkenaan dikatakan diutuskan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas mesyuarat berlangsung.

“Namun ia tetap dalam bidang kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang tidak sewajarnya dipersoal atau ditolak pelaksanaannya,” katanya.

Sehubungan itu, Veteran UMNO berharap Perdana Menteri segera menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan kesediaan kerajaan untuk memohon ampun perkenan pelaksanaan titah itu. – BH

More From Author

Alfu Sanatin II kupasan sejarah Islam moden secara santai

UMNO tidak akan tinggalkan MCA, MIC – Ahmad Zahid