SEREMBAN: Bintang baharu Negeri Sembilan FC (NSFC), Luqman Hakim Shamsudin berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya pengalaman berkelana selama lima musim di Eropah dan di Jepun, bagi membantu mengembalikan semula reputasi Negeri Sembilan dalam kancah saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2025-2026.
Pemain berusia 23 tahun ini jelas dalam situasi meyakinkan untuk menggalas tugas dan amanah diberikan NSFC, bagi membantu merealisasikan harapan tinggi peminat dan penyokong skuad Hobin Jang Hobin dalam kempen Liga M yang bakal memulakan aksi bulan depan.
“Saya pilih Negeri Sembilan sebagai tempat meneruskan karier bola sepak di Malaysia. Ia lahir atas keyakinan yang diberikan oleh pihak pengurusan kelab ini selain faktor kehadiran ketua jurulatih, Nidzam Jamil.
“Sasaran saya adalah untuk membantu mengembalikan semula reputasi Negeri Sembilan seperti mana yang pernah pasukan ini capai suatu ketika dulu sekali gus membangkitkan semula semangat penyokong untuk hadir ke stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.
“Saya akan memanfaatkan pengalaman beraksi selama lima musim di luar negara untuk membantu Negeri Sembilan kembali disegani di pentas Liga M,” katanya ketika ditemui, selepas pelancaran stor rakan strategi NSFC, di sini, petang tadi.
Begitu pun Luqman akui usaha berkenaan adalah satu cabaran besar bukan sahaja kepada dirinya malah rakan-rakan dalam pasukan itu kerana sedar standard Liga-M sudah meningkat naik dan berstatus tinggi.
“Impian ini sudah tentu memerlukan kerjasama dan persefahaman yang jitu dalam kalangan pemain. Faktor ini amat penting kerana dalam padang kita memerlukan persefahaman yang terbaik bagi kejayaan sesebuah pasukan.
“Kini proses menuju ke arah itu adalah positif dan mungkin dalam sedikit masa lagi ia boleh diterjemahkan dengan baik,” kata pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu. – BH
