Duda cabut nyawa sendiri selepas kecewa tunang minta putus

MELAKA: Kecewa selepas bakal isteri meminta putus tali pertunangan dipercayai menjadi punca seorang duda mencabut nyawanya sendiri di pangsapuri di Sungai Putat di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian dilaporkan berlaku selepas tukang masak berusia 39 tahun bertengkar dengan tunangnya, 31 tahun kira-kira pukul 4.30 petang kerana cemburu.

“Si mati dan tunangnya bertengkar kerana bakal isterinya itu mahu memutuskan tali pertunangan mereka dipercayai akibat cemburu sebelum wanita itu terus masuk ke biliknya.

“Kira-kira 30 minit kemudian, ketika keluar dari biliknya, wanita itu terkejut apabila melihat tunangnya dalam keadaan tergantung di kipas siling dengan wayar dalam biliknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.

Menurut Christopher, wanita itu kemudian meminta bantuan jiran untuk menurunkan si mati sebelum terus menghubungi polis.

“Pemeriksaan pasukan polis di lokasi kemudian menemukan mayat lelaki itu di lantai dalam bilik utama rumah berkenaan yang disewa si mati bersama dua abang tunangnya itu.

“Hasil soal siasat, tunang si mati memberitahu bakal suaminya itu tertekan selepas dia menyatakan hasrat untuk memutuskan tali pertunangan mereka,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette

More From Author

Warga emas culik budak, larikan kereta tukar pengakuan kerana keliru

Pet World Nutritions mahu terus kuasai pasaran makanan haiwan peliharaan Malaysia