KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad enggan memberi sebarang ulasan tentang keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih belum menerima peletakan jawatan beliau.
“No comment (tiada komen),” katanya seperti dilapor Berita Harian ketika ditemui pada Majlis Royal Selangor Eco Week 2025 di Royal Selangor Visitor Centre, hari ini.
Nik Nazmi berkata, kehadirannya adalah atas undangan yang diterima sebelum peletakan jawatan sebagai menteri, selain tampil atas kapasiti selaku Ahli Parlimen.
“Saya datang majlis yang sudah dirancang waktu saya belum hantar surat letak jawatan dan kebetulan di dalam kawasan saya. Saya hadir sebagai tanda sokongan kepada Royal Selangor Eco Week 2025.
“Saya datang sebagai Ahli Parlimen kawasan dan saya masih menjawab berkenaan isu alam sekitar (di sini),” katanya.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata ‘belum terbuka hati’ untuk meluluskan permohonan peletakan jawatan dua menteri PKR iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi.
Anwar dilapor masih mempertimbang dan memberi ruang kepada kedua-dua menteri berkenaan memikirkan semula permohonan itu.
Pada 28 Mei lalu, Nik Nazmi mengumumkan meletak jawatan sebagai menteri, berkuat kuasa 4 Julai ini.
Pengumuman itu dibuat kira-kira tiga jam selepas Rafizi meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun ini.
