TANJONG MALIM, 30 MAC 2026 – Dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih tempat pertama dalam PGVIM International Guitar Ensemble Competition 2026 yang berlangsung pada 27 hingga 28 Mac lalu di Princess Galyani Vadhana Institute of Music, Bangkok, Thailand.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, Alif Danieal Norazmi, pelajar Sarjana Muda Pendidikan (Muzik), bersama Joynner Junior Hermon, pelajar Sarjana Muzik (Persembahan), telah memenangi First Prize bagi kategori Guitar Chamber (Open Category) dalam pertandingan berprestij itu.

“Pencapaian ini membuktikan keunggulan bakat serta tahap profesionalisme pelajar UPSI dalam bidang muzik persembahan di pentas antarabangsa, sekali gus mengangkat reputasi universiti sebagai institusi pendidikan guru yang melahirkan graduan berdaya saing global,” katanya dalam satu kenyataan.
Pertandingan berkenaan menghimpunkan peserta dari pelbagai negara dan menawarkan hadiah keseluruhan melebihi 120,000 Baht, menjadikannya antara platform penting bagi pemuzik muda untuk menonjolkan bakat dan kreativiti mereka.
“Selain itu, penyertaan dalam pertandingan ini merupakan sebahagian daripada program mobiliti akademik yang diselaraskan oleh Herry Rizal Djahwasi, sekali gus memperkukuhkan jaringan antarabangsa serta memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar di peringkat global.
Tambah Md Amin, kejayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasakan pendidikan berteraskan kecemerlangan dan inovasi.

“Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan UPSI, malah turut mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. Ia membuktikan bahawa pelajar kita memiliki bakat, disiplin dan daya saing yang tinggi setanding dengan pemuzik antarabangsa.
Beliau berkata kejayaan itu juga menjadi manifestasi keberkesanan pendekatan holistik yang dilaksanakan oleh Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi.
“UPSI akan terus komited memperluas peluang pendedahan antarabangsa kepada pelajar melalui program mobiliti, pertandingan dan kolaborasi strategik agar mereka mampu bersaing serta menyerlah di peringkat global,” ujar beliau
