ISKANDAR PUTERI,: Seramai 67 nelayan dampung Pok dan Kampung Tanjung Adang hari ini menyerahkan memorandum kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad berhubung isu penempatan semula jeti nelayan susulan pembangunan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Fasa 3.
Komuniti nelayan terbabit menyuarakan kebimbangan terhadap lokasi jeti baharu yang disifatkan terlalu jauh serta berisiko kepada keselamatan bot nelayan, khususnya bot bersaiz kecil.
“Penempatan jeti nelayan yang baharu ini kawasannya agak jauh dan membahayakan keselamatan bot-bot nelayan di tempat yang baharu yang terdedah kepada ancaman angin laut yang lebih besar,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pusat Khidmat DUN Kota Iskandar, di sini hari ini.
Beliau berharap Menteri Besar Dato’ Onn Hafiz Ghazi dapat mengadakan rundingan bersama pihak PTP bagi membolehkan pengkalan nelayan sedia ada di Kampung Pok dikekalkan serta dinaik taraf demi memastikan nelayan dapat menjalankan aktiviti dengan lebih selamat dan berupaya meningkatkan pendapatan.
Beliau berkata penduduk kampung pada hakikatnya tidak menolak pembangunan, namun mengharapkan agar pelaksanaan projek tersebut tidak menjejaskan kelangsungan hidup nelayan tradisional setempat.
Pandak berharap Menteri Besar Johor dapat mengadakan rundingan dengan PTP untuk mengekalkan dan menaik taraf jeti Kampung Pok demi keselamatan nelayan dan peningkatan pendapatan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Nelayan Kampung Pok dan Kampung Tanjung Adang Suhaimi Mohamad Said berkata sebarang pengalihan atau penutupan jeti berkenaan akan memberi kesan besar kepada pendapatan, keselamatan serta kos operasi nelayan.
Menurutnya, jeti tersebut bukan sekadar kemudahan fizikal, malah merupakan warisan dan keperluan asas komuniti pesisir.
“Sekiranya perubahan tidak dapat dielakkan, ia mestilah melalui perbincangan bersama nelayan, dengan penyediaan jeti gantian yang setara atau lebih baik, serta pelan pampasan yang adil dan munasabah,” katanya.
Turut hadir Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Zon Kota Iskandar Yusof Ahmad dan Ketua Kampung Tanjung Adang Mohamad Izwan Abd Talib. – Majestic
