MPK bantu lancarkan trafik di bandar Kluang

KLUANG: Majlis Perbandaran Kluang (MPK) menubuhkan unit Warden Lalu Lintas bagi membantu meningkatkan pengurusan trafik khususnya di kawasan tumpuan awam yang berdepan dengan kesesakan lalu lintas dan masalah tempat letak kenderaan.

Yang Dipertua MPK, Fahmi Yahya berkata, seiring dengan pembangunan pesat serta peningkatan ketara jumlah kenderaan di bandar Kluang, keperluan terhadap perancangan lalu lintas yang lebih sistematik dan berkesan amat penting selain memupuk kesedaran dan disiplin masyarakat terhadap pematuhan peraturan jalan raya.

Katanya, Jabatan Penguatkuasaan MPK akan menguatkuasakan undang-undang serta memastikan pengurusan trafik dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

“Pelancaran Warden Lalu Lintas ini adalah untuk memperkenalkan peranan dan fungsi warden kepada orang awam.

“Antara peranan utama Warden Lalu Lintas adalah membantu melancarkan pergerakan kenderaan berkaitan halangan akibat parkir tidak teratur yang merupakan antara isu utama yang sering diterima, termasuk halangan terhadap laluan trafik, pejalan kaki, dan laluan kecemasan bagi mengurangkan risiko keselamatan orang awam,”katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Fahmi lagi, Warden Lalu Lintas yang dilantik telah dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran mencukupi bagi mengawal trafik, memantau kawasan parkir serta berinteraksi dengan orang awam secara profesional dan berhemah.

Ujarnya, 15 orang pegawai dan anggota telah dilantik pada peringkat awal bagi menjalankan kuasa di bawah Subseksyen 3(4B) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jumlah ini akan ditambah secara berperingkat mengikut keperluan serta keberkesanan pelaksanaan.

“Setiap warden juga memakai uniform rasmi berwarna biru muda yang lengkap dengan aksesori ditetapkan bagi memudahkan pengenalan oleh orang ramai.

“Harapan kita agar orang awam dapat bekerjasama dengan mematuhi arahan warden dan peraturan lalu lintas serta menyalurkan aduan atau cadangan melalui saluran rasmi MPK seperti talian hotline, aplikasi mudah alih, dan media sosial,”katanya.

Tambah beliau lagi, kerjasama ini amat penting bagi memastikan pelaksanaan Warden Lalu Lintas mencapai matlamatnya dalam meningkatkan keselamatan, keselesaan dan kelancaran trafik di daerah Kluang. – Majestic

More From Author

Sultan didenda RM1,000 buang puntung rokok

Dua PPS ditutup, semua mangsa kebakaran tanah gambut dibenarkan pulang