Minggu lepas belasah 10-1, hari ni JDT hanya bagi 1-0, sah ke suku akhir

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT), mengesahkan slot ke suku akhir Piala FA apabila menewaskan PDRM FC, 1-0 dengan agregat 11-1 di Stadium Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Jaringan tunggal Teto Martin pada minit ke-66, ternyata sudah memadai untuk juara bertahan tersebut mara ke kelompok lapan pasukan terbaik setelah mencatat kemenangan 10-1 pada aksi pertama pusingan 16 di venue sama, Ahad lalu.

Harimau Selatan itu tidak menunggu lama sejurus wisel permulaan, kesebelasan JDT mengasak hebat ke gawang pelawat dalam usaha mencari gol di laman sendiri.

Namun asakan demi asakan tuan rumah itu gagal meledak sebarang gol selain berjaya dikekang benteng pertahanan The Cops.

Selain itu, aksi cemerlang dipamerkan penjaga gol Nor Hakeem Hamidun turut mematahkan percubaan-percubaan jentera serangan skuad Harimau Selatan itu untuk kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Bagaimanapun apabila bersambung babak kedua, JDT mula menggandakan asakan bagi merobek gawang pelawat.

Usaha tersebut berjaya membuahkan hasil apabila Stadium Sultan Ibrahim bergema dengan sorakan penyokong sejurus Teto Martin menjaringkan gol pada minit ke-66.

Gol nyata menyemarakkan lagi semangat kesebelasan JDT untuk terus mengasak ke gawang The Cops bagi menambah jaringan selepas itu.

Bagaimanapun, tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan skuad Harimau Selatan itu hingga ke wisel penamat.- Majestic

More From Author

Tertekan pedal minyak, rempuh wanita, dua anak

2 suspek kes culik diberkas, warga India diselamatkan