Mangsa kebakaran tanah gambut terima bantuan tunai

KOTA TINGGI: Semua keluarga mangsa kebakaran tanah gambut di kawasan berhampiran Taman Bayu Damai, Pengerang, di sini yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) akan menerima bantuan wang tunai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, jumlah bantuan berkenaan akan ditentukan kerajaan negeri nanti.

“Mangsa-mangsa yang dipindahkan akan diberi bantuan secukupnya oleh kerajaan negeri. Semalam dalam mesyuarat dengan pihak SUK kerajaan negeri, permohonan mereka akan diangkat untuk bantuan secara yang secukupnya.

“Jumlahnya itu akan ditentukan kerajaan negeri. Semasa mereka tinggal di PPS ini, makanan akan diberi secukupnya, yang sakit KKM (Kementerian Kesihatan) akan pantau, kanak-kanak dijaga, OKU (orang kurang upaya) akan dijaga kebajikan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyantuni penduduk yang dipindahkan ke PPS di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai di sini semalam.

Katanya, semua mangsa yang dipindahkan di PPS berkenaan termasuk sebuah lagi PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapal diberi bantuan dan kemudahan secukupnya seperti makanan dan penjagaan kesihatan.

Kebakaran di taman berkenaan bermula Jumaat lalu dan sehingga pukul 4 petang tadi seramai 153 penduduk melibatkan 50 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS).

Mereka ditempatkan di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan SK Sungai Kapal sejak Sabtu.- Majestic

More From Author

21 kali pengeboman air padam kebakaran tanah gambut

Sultan didenda RM1,000 buang puntung rokok