KLUANG: Kilang Kopi Cap Television menerima pengiktirafan ASEAN Rekod selepas mencatat kunjungan hampir 100,000 orang dalam tempoh setahun.
Pengiktirafan tersebut menjadikan kilang Kopi Cap Television sebagai satu tempat paling ramai dikunjungi di negeri ini sepanjang tahun lalu.
Pengiktirafan diberikan itu turut diperakui oleh Tourism Johor apabila mencatat kunjungan seramai 91,056 orang setahun sejak mula beroperasi 60 tahun lalu di daerah ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Goh Yong Kian berkata, secara dasarnya lebih ramai pengunjung sudah datang ke kilang itu apabila kunjungan mereka tidak direkodkan kerana hadir sama ada secara persendirian atau dalam kumpulan kecil.
Katanya, apa yang dicatatkan dalam senarai jumlah kunjungan ini hanya mereka yang datang dalam satu rombongan besar dan kebanyakannya adalah dari luar daerah atau negeri ini.
“Prestasi ini amat membanggakan kami sejak mula beroperasi pada tahun 1966 hingga sekarang yang telah memasuki generasi ke tiga.
“Namun apa yang lebih penting adalah, selama tempoh 60 tahun itu resepi pembuatan kopi Cap Television ini tidak pernah diubah walaupun telah berubah cara pemprosesannya daripada dapur kayu api hingga ke teknologi terkini sekarang ini,” katanya.
Yong Kian berkata, berikutan sambutan orang ramai yang semakin meningkat, pihaknya dalam perancangan membina satu bangunan baharu bersebelahan kilang sedia ada bagi menampung kehadiran pengunjung agar lebih selesa terutama dibahagian kafe dan jualan runcit.
Ujarnya, selain itu, sebagai penghargaan kepada pelanggan khususnya golongan ‘orang lama’, pihaknya akan memperkenalkan satu produk kopi baharu yang lebih dikenali sebagai Kopi Tulen iaitu kopi tanpa gula.
“Satu perkara yang perlu diketahui adalah Kilang Kopi cap Television (TV) bukan sahaja berperanan sebagai tempat pengeluaran kopi semata-mata, tetapi juga sebagai ruang pembelajaran dan lawatan untuk masyarakat yang ingin mengenali budaya kopi tempatan,” katanya.- Majestic
